berita

Penduduk Pangsapuri Terkejut Lif Dilumur Najis Manusia, Jijik!

December 19th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Memang tidak dapat dinafikan, gejala vandalisme di Malaysia dilihat semakin menjadi-jadi. Golongan tidak bertanggungjawab ini sering membuat onar dengan menconteng, mengotori dan merosakkan harta benda awam tanpa rasa bersalah.

Terbaru, satu kes vandalisme berlaku di sebuah pangsapuri di mana pelakunya telah melumurkan najis manusia pada lif tersebut.

Butang lif dilumur najis

Menerusi Harian Metro, kejadian jijik yang berlaku di Blok D Pangsapuri Taman Medan Jaya, Petaling Jaya tersebut disedari oleh penduduk setempat ketika mereka mahu menggunakan lif berkenaan.

Kemudian, salah seorang penduduk di situ yang telah menggunakan lif tersebut untuk turun membuang sampah. Dia terhidu satu bau busuk yang datang dari dalam lif yang dinaikinya dan dia tidak mengesyaki apa-apa kerana dia menyangka itu adalah bau sampah yang dibawanya. Namun, lain pula jadinya apabila dia melihat butang pada lif berkenaan terlalu kotor dan menyedari ianya telah dilumur dengan najis manusia.

Saya menjerit geram dan tidak menyangka ada pihak tidak bertanggungjawab melumurkan najis manusia di semua butang lif berkenaan.

Tidak pernah berlaku vandalisme lif dilumur dengan najis sebelum ini. Kebiasaannya sebelum ini dirosakkan seperti dicucuh api dan curi peralatan pendawaian dalam lif itu.

Vandalisme sering berlaku

Menurut Mohd Zuhdi Mat Saris yang juga merupakan ketua blok di pangsapuri itu berkata, pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) menggunakan mesin pencanai untuk membuka butang lif berkenaan sehingga mengambil masa lebih kurang sejam untuk membersihkan najis tersebut.

Bimbang dengan kejadian itu, penduduk setempat dikatakan telah membuat aduan kepada pihak berkuasa berhubung dengan gejala vandalisme yang sering berlaku di pangsapuri tersebut. Menurut penduduk di situ, pernah suatu ketika dahulu kereta penduduk hampir dibakar golongan tidak bertanggungjawab ini.

Laporan polis juga sudah dibuat untuk tindakan selanjutnya berhubung kejadian ini. Saya amat berharap semua penduduk bekerjasama menjaga kemudahan yang kita sendiri perlu menggunakannya.

Jika terdapat sebarang tindak-tanduk mencurigakan segera laporkan kepada pihak berkuasa atau menasihati secara baik kepada pihak berkenaan.

Rakaman CCTV diteliti

Susulan itu, menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din di Astro Awani berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kes ini dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti pelaku yang tidak bertanggungjawab ini.

Suspek dipercayai penduduk flat tersebut dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang diteliti.

Kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro, Astro Awani

SKIP THIS AD ×