berita

Penerbit Drama Lebih Pandang Kualiti Persembahan, Lakonan & Sikap Pelakon – ‘Jumlah Pengikut Di Media Sosial Merupakan Bonus’

September 26th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Sejak belakangan ini, jumlah kemasukan pelakon baharu dalam industri hiburan tanah air semakin meningkat. Namun, terdapat juga sesetengah stesen televisyen (TV) yang lebih suka memilih pelakon utama dalam sesebuah drama atau filem berdasarkan jumlah pengikut media sosial mereka.

Terbaru, penerbit terkenal, Fadzil Teh tampil menjawab mengenai isu tersebut di akaun Instagramnya.

Sokong keputusan stesen televisyen

Sebelum ini, Fadzil Teh menerusi hantarannya di laman Facebook menyokong keputusan stesen TV berasaskan penstriman yang menetapkan syarat pelakon akan dipilih berdasarkan followers lebih sejuta di Instagram. Ujar Fadzil, syarikat penerbitannya menyokong perkara tersebut bagi menggalakkan peminat artis berkenaan menonton kandungan dalam saluran itu. Selain itu, beliau beranggapan kewujudan saluran TV berasaskan penstriman adalah wajar supaya industri tanah air dikenali hingga ke luar negara.

Sebagai penerbit, kewujudan saluran TV berasaskan penstriman ini sedikit sebanyak memberi peluang penggiat industri kita untuk mengembangkan karya tempatan ke luar negara. Apatah lagi, saluran ini memang dari luar negara. Cuma, apabila mereka mula membuka ruang kepada pengkarya tempatan bagi menerbitkan kandungan berbentuk drama dalam saluran mereka, saya kira ia sesuatu yang perlu disambut baik.

Ramai yang hentam

Susulan daripada kenyataan di Facebook dan yang dikeluarkan oleh rakan media, Fadzil mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan segalanya sekali lagi di Instagram.

Sebenarnya itu adalah salah satu syarat sebuah tv penstriman yang dikenakan kepada produksi yang menerbitkan drama di platform mereka. Bukan syarat dari pihak Zeel Production atau sebuah ketetapan yang dibuat oleh @hj.zil secara peribadi sebagai produser.

Jelas Fadzil, pihaknya turut terkejut apabila pihak stesen televisyen mengajukan syarat berkenaan sebagai satu penanda aras agar pengikut artis berkenaan melanggan dan menonton drama yang dihasilkan di platform penstriman mereka.

Mereka juga adalah syarikat penstriman yang beribu pejabat di luar negara, bukan disini.  Tentulah, pihak kami menyambut baik, menghormati dan mengikut sahaja syarat berkenaan andai ingin bekerjasama dengan mereka. Pihak kami pastilah memandang sisi positifnya dimana drama itu mungkin mampu menarik ramai penonton dari jumlah followers yang banyak itu. Namun, ingin ditegaskan, kami tidak pernah meletakkan jumlah pengikut di Instagram sebagai daya ukuran untuk memberi peluang kepada mana-mana pelakon.

Baik pelakon senior atau pelakon baru, semuanya mampu mendapatkan ruang dan peluang jika berpotensi, berbakat dan mempunyai aura tersendiri. Mempunyai pengikut dan populariti di media sosial adalah satu bonus tetapi bagaimana kualiti persembahan, lakonan dan sikap untuk menjadi artis yang baik itu yang lebih diutamakan.

Di akhir posting, Fadzil menegaskan bahawa pihaknya memberi peluang yang terbaik dan sama rata kepada kesemua pelakon. Bahkan, pihaknya juga ingin menampilkan bakat yang baik dan berkualiti.

Sumber: Fadzil Teh

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×