Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran perlu dilakukan secara dalam talian. Malah, pengajian secara bersemuka tidak dibenarkan dalam tempoh ini.
Kempen Pembudayaan Norma Baharu KPT baru dilancarkan pada 17 November lepas dan diadakan sesi temu bual bersama Prof.Dr. Mohd Cairul Iqbal Bin Mohd Amin selaku Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Penyelidikan Dan Antarabangsa.
Jadi, ini apa yang dah disampaikan oleh beliau mengenai kempen tersebut…
Warga pengajian tinggi perlu amalkan ‘3W’
Semasa pelancaran kempen ini, Menteri Pengajian Tinggi iaitu Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyeru agar warga pengajian tinggi mengamalkan amalan ‘3W’.
Iaitu WASH atau kerap mencuci tangan dengan air dan sabun. WEAR, wajib pakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan WARN, iaitu sentiasa mengikuti peringatan dan nasihat daripada pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai wabak COVID-19 ini.
Pihak IPTA atau IPTS haruslah tegas dalam memastikan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi. Elakkan dari mengadakan aktiviti keramaian atau program luar kuliah yang menghimpunkan orang ramai dan menyukarkan kawalan keadaan pada satu-satu masa.
Paling penting, warga IPT termasuklah pelajar hendaklah memanfaatkan sepenuhnya aplikasi MySejahtera kerana ia sangat penting bagi KKM untuk memantau dan menjejaki kontak rapat sekiranya terdapat kes indeks direkodkan.
Adakah proses PdP perlu diadakan di rumah masing-masing atau di kampus?
Macam yang korang tahu, semester kini sedang berlangsung di IPT. Tapi, aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dikendalikan secara dalam talian. Majoriti daripada pelajar sedang menjalankan semester dari rumah dan minoriti saja yang berada di kampus buat masa ni.
Pelajar yang berkeperluan dibenarkan untuk kembali ke kampus atas sebab seperti latihan klinikal, makmal studio, amali atau akses internet. Tapi, pelajar perlu mendapat izin daripada IPT masing-masing terlebih dahulu ya.
Ia bergantung kepada kesesuaian dan kesediaan pihak institusi dengan pelaksanaan SOP yang ketat serta mengikut kapasiti kampus pada satu-satu masa.
Akses internet terhad? Jangan risau, ada bantuan untuk para pelajar!
Pada 30 Oktober 2020 lalu, KPT melancarkan Kempen Pakej Pelan Data dan Peranti kepada Pelajar IPT. Bagi inisiatif ini, KPT bekerjasama dengan pihak IPT dan menyelaraskan 4 jenis bantuan pakej pelan data dan peranti kepada pelajar IPT.
Ini mampu memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian untuk semua. Antaranya ialah:
- Bantuan Kewangan Prihatin One-Off RM50 kepada pelajar baharu Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik 2020/2021 bertujuan langganan awal pelan data.
- Bantuan pelan data berbentuk kad sim atau sumbangan tunai kepada pelajar UA dari golongan B40.
- Bantuan memiliki peranti kepada pelajar UA dari golongan B40.
- Bantuan pakej pelan data dan peranti istimewa kepada semua pelajar IPT.
Selain itu, KPT turut mengusahakan penyelenggaraan dan penaikan taraf sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di IPT bagi melancarkan proses pengendalian PdP serta pakej pelan data untuk pelajar di luar kampus. Haa.. ini pasti memudahkan semua termasuk kawasan bandar dan luar bandar.
Tapi, dinasihatkan agar kakitangan IPT juga peka dengan keadaan dan kebajikan pelajar. Kalau ada masalah, pensyarah perlu mencari alternatif lain seperti merakam kelas dalam talian dan muat naik video tersebut ke YouTube atau email video tersebut kepada pelajar.
Pelbagai aktiviti PdP dijalankan secara dalam talian oleh IPT
Terdapat pelbagai jenis aktiviti yang PdP yang boleh dilaksanakan secara dalam talian. Kaedah yang digunakan perlu bergantung kepada kreativiti dan kebolehan pensyarah.
Antara kaedah yang menjadi pilihan pensyarah termasuk blended learning, flipped learning, personalized learning dan sebagainya. Dengan integrasi teknologi ke dalam PdP, pelajar juga boleh terlibat secara aktif dengan mempersembahkan idea mereka.
Pembelajaran dalam talian beri impak positif kepada pelajar
Sebenarnya banyak impak positif yang korang boleh nampak dengan kaedah ini. Antaranya pelajar memperolehi kemahiran mengaplikasikan pengetahuan dengan penggunaan dan aplikasi teknologi. Ia juga menjadikan pelajar dari semua bidang celik IT.
Bukan itu saja, jika pelajar bijak menggunakan IT/ICT, ia merupakan permintaan besar di pasaran kerja nanti. Contohnya dalam industri kreatif, data raya, gamifikasi, perniagaan dalam talian, pemakanan dan hiburan boleh dipenuhi dengan kemahiran yang dipelajari.
“Biasakan diri dengan aplikasi-aplikasi terkini sedia ada”- Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal
“Pelajar perlu bersedia dan menyesuaikan diri dengan sistem PdP baharu di universiti dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Biasakan diri dengan aplikasi-aplikasi terkini sedia ada untuk menggantikan pembelajaran secara konvensional di bilik kuliah kepada kelas dalam talian.”
Katanya juga, seseorang pelajar baru perlu tingkatkan kreativiti dan inovasi dalam pembelajaran terutamanya dalam penyelesaian masalah kerana akses kontak dengan pensyarah dan rakan sekuliah adalah secara dalam talian.
Pelajar baru perlu bersedia untuk berdikari bagi mengimbangi keperluan fizikal, emosi dan pembelajaran dalam sistem pendigitalan pendidikan. Jadi marilah kita terus membudayakan norma baharu dalam kehidupan harian kita dan bersama-sama menjayakan usaha dalam membendung penularan Covid-19.