Peminat band terkenal Britain, Coldplay tentunya tidak sabar untuk menonton persembahan artis pujaan mereka di konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur.
Sungguhpun begitu, pihak penganjur Live Nation Malaysia tampil memuat naik peringatan yang perlu dipatuhi para penonton sepanjang menghadiri konsert tersebut yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Artikel Berkaitan: Penjualan Tiket ‘Licin’ Dalam Masa 5 Jam, Konsert Coldplay Di Singapura Tambah Satu Hari Lagi
Tolong berhemah datang konsert
View this post on Instagram
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram, Live Nation memaklumkan bahawa perbuatan menunggu artis di luar atau di dalam lokasi konsert serta bermalam di kawasan sekitar stadium adalah dilarang kerana dikhuatiri akan menggugat keselamatan artis serta orang awam.
Mereka juga sama sekali tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan dan akan menahan mana-mana pihak yang didapati mencetuskan masalah.
Ia boleh mengakibatkan kemalangan atau kesulitan membabitkan khalayak awam. Setiap pihak yang terbabit harus menangani sebarang kemalangan atau insiden tercetus disebabkan tindakan sedemikian.
Artis, penganjur dan pihak lokasi tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan dan insiden akibat daripada tindakan sedemikian.
Sebarang kelakuan berniat jahat, individu terbabit tidak akan dibenarkan memasuki lokasi persembahan dan mungkin diserahkan kepada pihak polis untuk didakwa.
Selain itu, pihak penganjur turut melarang penonton untuk melakukan sebarang tindakan yang didapati boleh menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.
Bagi mencipta atmosfera kenangan indah buat semua penonton, mohon beringat mengenai budaya serta sensitiviti tempatan di Malaysia dan elakkan tunjuk prop atau barangan yang akibatkan rasa tidak senang kepada orang lain.
Mari sama-sama fokus kepada muzik dan keseronokan yang dikongsikan pada acara itu nanti.
Live Nation turut memuat naik senarai barangan yang dilarang daripada dibawa masuk ke dalam stadium sepanjang konsert berlangsung.
Antara barangan yang dilarang termasuklah makanan dan minuman, binatang peliharaan, komputer riba mahu pun gajet, alatan merbahaya seperti mercun, minuman keras dan banyak lagi.
Untuk makluman, penebusan tiket atau pun gelang tangan akan dibuka seawal jam 12 tengah hari pada hari konsert.
Penonton perlulah menunjukkan e-tiket mereka bagi tujuan penebusan itu dan pintu masuk ke konser hanya akan dibuka pada jam 5 petang.
Sumber: Instagram