Pengarah filem Jiwa 8 Belas iaitu Baldev Singh akui terkejut selepas mendengar berita mendakwa pelakon veteran, Aman Graseka menghubungi rakan-rakan artis untuk mendapatkan bantuan kewangan.
Artikel Berkaitan: ‘Itu Bukan Dia, Ini Perbuatan Scammer Dalam Rumah Sendiri’ – Mas Idayu Percaya Aman Graseka Dikawal?
Pengarah nak bantu cari kerja
Ketika ditemui OhBulan!, Baldev, 61, berkata selepas mendengar khabar berita tersebut, dia cuba menghubungi Aman namun gagal.
Baldev akui kasihan dengan apa yang menimpa Aman namun dia berharap pelakon veteran itu kembali bangkit dan meneruskan kehidupannya untuk menyara diri dan keluarga.
Saya tak tahu apa masalah yang dia hadapi sekarang. Saya nak bantu dia, nak carikan pekerjaan untuk dia boleh berdikari dan cari makan untuk keluarga.
Saya bukan nak tolong dia untuk beri sumbangan duit, tapi sediakan peluang pekerjaan.
Bercerita dengan lebih lanjut, Baldev menyifatkan Aman seorang pelakon yang baik dan berdisiplin. Malah, dia akui senang bekerjasama dengan Aman sepanjang penggambaran filem jiwa 8 belas.
Sekadar info, filem Jiwa 8 Belas merupakan sebuah filem terbitan Sri Saheb Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh S. Baldev Singh. Filem yang dibintangi barisan pelakon hebat ini akan ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 18 Januari 2024.