berita

Penjawat Awam Perlu Ada Kepintaran Kontekstual & Teknologi – PM Ketika Rasmi Majlis Pecah Tanah Bangunan CUEPACS

November 17th, 2022 | by Azyan
Kini Trending

Isnin lalu, Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan CUEPACS di Presint 18, Putrajaya.

CUEPACS merupakan sebuah kesatuan gabungan tunggal dalam perkhidmatan awam yang berperanan mengerat, dan menjalinkan semangat serta kebersamaan antara anggota pentadbiran dan penjawat awam sama ada di peringkat Negeri dan juga Persekutuan.

Di kesempatan tersebut, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sempat menekankan beberapa aspek yang perlu diperbaiki supaya dapat membentuk budaya kerja yang lebih cemerlang.

Ini kerana tahap kejayaan sesebuah organisasi besar bergantung kepada kualiti pekerjanya.

Belajar untuk adaptasi kepada keperluan perubahan

Amat penting untuk mengubah landskap perkhidmatan awam kerana kecanggihan teknologi, kadar literasi yang tinggi dan pengetahuan yang boleh didapati di mana-mana sahaja.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada Keluarga Perkhidmatan Awam untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kita dengan beradaptasi kepada keperluan perubahan.”

Mentaliti ‘tahu segala-galanya’ dan bergerak secara ‘silo’ perlu dihapuskan

Dengan mempermudahkan dasar, peraturan dan proses kerja di pihak agensi awam dapat menggalakkan libat urus dengan masyarakat dalam pembangunan negara.

Selain itu, penjawat awam juga perlu memiliki Kepintaran Kontekstual dan Kepintaran Teknologi supaya mereka dapat memanfaatkan pengetahuan serta mengoptimumkan penggunaan teknologi sedia ada untuk kerja yang lebih bermutu.

Untuk berbuat demikian, perubahan dasar, perundangan dan prosedur standard bagi menyokong penggunaan teknologi baharu seperti automasi proses robotik (RPA) dan kepintaran buatan (AI) perlu diintegrasikan dengan sistem sedia ada.

Kerajaan turut melaksanakan beberapa inisiatif baru untuk penjawat awam

Inisiatif tersebut ialah:

  1. Pembiayaan insuran kenderaan melalui myezycover.com bagi pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan yang boleh dibuat tanpa bayaran pendahuluan dan faedah.
  2. Meneruskan Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM100 juta untuk manfaat 40,000 peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam.
  3. Memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar yang turut merangkumi jam tangan pintar.
  4. Membenarkan pegawai yang baru kematian suami atau isteri untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sebaik sahaja tempoh tiga hari Cuti Tanpa Rekod (CTR) tamat.

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob juga mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam semasa yang juga terkandung di dalam Bajet 2023 iaitu:

  1. Kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari.
  2. Kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus juga akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari.
  3. Menambah cuti rehat khas pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat melebihi 10 tahun sebanyak 5 hari menjadi 15 hari
  4. Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56
  5. Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara Kerajaan sebanyak RM350
  6. Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada bulan Mac 2023.

Cuti umum, pemberian gaji lebih awal serta tol percuma diberikan sempena PRU-15

Sempena PRU-15 yang bakal menjelang, kerajaan telah bersetuju untuk berikan beberapa kemudahan bagi melancarkan  perjalanan untuk pulang ke tempat mengundi masing-masing.

Kemudahan tersebut ialah:

  1. Hari Kelepasan Am pada 18 dan 19 November 2022
  2. Tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi bulan November 2022 diawalkan pada 17 November 2022 dan bagi pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 November 2022.
  3. 30 konsesi lebuhraya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari

Diharap inisiatif ini serba sedikit dapat meringankan beban kewangan rakyat yang bakal pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai penentu sistem demokrasi ini.

Perdana Menteri ambil maklum beberapa isu berkaitan CUEPACS

Sedar akan beberapa isu yang dilontarkan, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob peka dan ambil tahu serta sering terbuka untuk menambah baik masalah tersebut.

Aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota Perkhidmatan Awam seperti isu gaji minimum, Time-based dan sebagainya seperti yang disebut oleh Dato’ Adnan Mat sebelum ini akan diketengahkan.

“Insya-ALLAH, berkat sokongan anggota penjawat awam yang sentiasa di belakang Kerajaan, saya akan kembali untuk kita bersama-sama memperhalusi satu persatu penambahbaikan yang belum selesai.”

“Akhir kata, saya menyeru ahli CUEPACS dan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia dan saya yakin bahawa ‘Penjawat Awam adalah Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia.’” – tambah beliau lagi.

 

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×