Di Kepala Batas, mayat seorang lelaki ditemui dalam tong air yang disimen dipercayai dibunuh adiknya sendiri. Mayat Mohd Haznul Nizar Khairul Anuar ditemui dalam tong yang diletakkan di tepi rumahnya di Kampung Padang Hassan. Penemuan itu susulan penahanan suspek yang sedang tidur di rumah.
Suspek tak sedap hati, cerita kepada abang lain
Foto: Berita Harian
Memetik laporan Berita Harian, suspek pada awalnya berasa tidak sedap hati dan menceritakan kejadian kepada seorang lagi abang. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, memberitahu pihaknya segera datang membuat pemeriksaan selepas menerima panggilan daripada abang suspek.
Abang mangsa kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu dan anggota kami bergegas ke lokasi kejadian jam 7 pagi tadi sebelum menahan suspek yang sedang tidur.
Tambahnya lagi, polis turut merampas barangan termasuk sebilah pisau dan kereta sorong yang disyaki digunakan suspek ketika kejadian. Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai dibunuh pada petang Jumaat lalu.
Berpunca dari baju diberi teman wanita?
Mangsa tidak bekerja manakala suspek bekerja sebagai penjual ayam goreng.
Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian disebabkan baju yang diberi teman wanita suspek sering dipakai si mati.
Perkara itu menyebabkan adiknya berang tetapi siasatan masih dijalankan.
Walaubagaimanapun, siasatan lanjut berkenaan kes masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat mangsa berserta tong dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan susulan.
Sumber : Berita Harian