Tak dinafikan, ketagihan bermain judi online semakin membimbangkan. Malah, ramai yang sudah berhabis duit termasuk wang simpanan hanya kerana ketagihan berjudi.
Baru-baru ini, seorang penyanyi dangdut Indonesia, Lia Adysta meluahkan rasa kecewa dengan sikap suaminya yang tergamak menggunakan wang yang disimpannya untuk kos rawatan hamil semata-mata untuk berjudi.
Suami ‘curi’ duit untuk judi
Memetik laporan Tribunnews, Lia dan suaminya, Muhammad Munawir Nadjib telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 namun sepanjang 7 tahun usia perkahwinan, mereka belum dikurniakan rezeki untuk memiliki zuriat. Oleh hal demikian, Lia melakukan inisiatif mengumpul wang untuk menjalani program kehamilan.
Tetapi malang sekali, wang yang dikumpulnya selama ini telah diambil oleh suaminya tanpa izin. Lebih mengecewakan apabila mendapat tahu bahawa wang tersebut digunakan si suami untuk bermain judi online.
Aku fikir balik, maknanya memang belum ada rezeki nak ada anak. Duit pun habis suami rembat. Dia nangis sampai bersujud-sujud.
Lia akui sangat kecewa dengan sikap suaminya itu. Menurut Lia, ini bukan kali pertama suaminya ketagih bermain judi malah sebelum ini, rumah tangga mereka kerap ditimpa masalah disebabkan ketagihan suaminya itu. Namun sebelum ini, Lia sentiasa memilih untuk memaafkan si suami kerana masih sayangkan rumah tangga yang dibina.
Tetapi siapa sangka, Munawir akhirnya berdepan tindakan undang-undang kerana didapati menyeleweng dana bank tempatnya bekerja untuk tujuan judi. Susulan daripada itu, Lia membuat keputusan untuk memfailkan talak selepas tujuh tahun mempertahankan hubungan tersebut. Lia percaya apa yang berlaku ini mempunyai hikmah.
Sumber: Tribunnews