Pelakon jelita, Mimi Lana meluahkan rasa syukur apabila drama lakonannya berjudul Perempuan Itu yang pernah mencetuskan kontroversi tahun lalu akhirnya ditayangkan di aplikasi Tonton, mulai hari ini.
Artikel Berkaitan: Dunia Hiburan Penuh Glamor? Seindah Kasih Angkat Kisah Kehidupan Sebenar Pengamal Media
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tunggu Nak Akad Nikah Saja’ – Syafiq Kyle
Belajar ilmu agama
Mimi atau nama lengkapnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin berkata, kontroversi yang tercetus sebelum ini telah memberikan dia peluang untuk mempelajari sesuatu perkara yang baharu termasuk ilmu berkaitan agama.
Malah, jelasnya dia turut memperoleh ilmu dalam memperjuangkan hak dan martabat seorang wanita menerusi drama arahan Isma Yusoof serta Ain Sharif itu.
Akhirnya drama Perempuan Itu akan ditayangkan di aplikasi Tonton bermula 1 Jun ini. Walaupun banyak kontroversi yang timbul berhubung drama ini, saya telah mempelajari banyak perkara di sebaliknya.
Selama saya menjalani penggambaran drama ini, saya sendiri banyak belajar hal-hal baru tentang ilmu agama. Hak-hak sebagai seorang wanita di dalam sesebuah rumah tangga dan paling penting adalah tentang martabat dan tanggungjawab sebagai seorang wanita untuk hidup dalam dunia ini.
Mimi berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran terbaharu di Instagram miliknya baru-baru ini.
Peroleh tauladan
Dalam masa sama, aktres berusia 27 tahun itu berharap agar orang ramai akan peroleh manfaat dan tauladan yang baik sejurus menonton drama terbitan Rumah Karya Cinta itu.
Saya berharap penonton yang akan menonton drama ini juga sedikit sebanyak dapat manfaat dari isi sebenar yang ingin disampaikan. Yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan.
Saya sangat sayangkan karya ini kerana isinya yang penuh dengan pengajaran dan tauladan.
Saya juga sangat sayangkan setiap satu orang yang terlibat dalam karya ini. Saya harap semua orang dapat bersedia dan menerima dengan hati yang terbuka sebelum menonton. Yang baik datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari kami semua.
Selain Mimi yang membawakan watak Khalish, turut membintangi drama tersebut ialah Zul Ariffin sebagai Emir, Siti Hariesa sebagai Seira dan Amar Asyraf sebagai Aryan.
Saksikan drama Perempuan Itu di aplikasi Tonton.my mulai 1 Jun 2023.
Sinopsis
Ibu bapa Khalish mahu dia mengambil alih Madrasah Mujahidah tetapi dia menolak kerana mempunyai impian tersendiri iaitu menjadi peguam Syariah dan memperjuangkan pemerkasaan wanita.
Kerana takut dengan pemikiran moden Khalish, ibu bapanya memutuskan untuk mengahwinkannya dengan anak kawan rapat mereka, Emir. Walaupun pada mulanya Tengku Emir keberatan, dia meneruskan perkahwinan itu kerana dia seorang anak yang taat kepada ibunya.
Selepas empat tahun berkahwin, Emir akhirnya berjaya mendapat kepercayaan dan cinta Khalish, dan mereka sedang menanti anak sulung mereka. Namun, Khalish kemudiannya mendapat tahu bahawa Emir sebenarnya mempunyai kekasih rahsia bernama Seira.
Emir melayani Seira sama seperti dia bersama dengan Khalish, penuh dengan kasih sayang. Khalish berasa sangat dikhianati, malah jatuh sakit akibat tekanan yang melampau dan kehilangan anaknya dalam keguguran.
Khalish kemudiannya menuntut cerai dengan bantuan Aryan, seorang Peguam Syariah yang juga rakan zaman kanak-kanaknya.
Selepas bercerai, Khalish membina sebuah organisasi untuk memperjuangkan pemerkasaan wanita. Dia menjadi terkenal kerana sifat lantang mempertahankan hak wanita.
Sumber: Instagram