Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melaksanakan inisiatif dengan mewujudkan kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkasakan Orang Kurang Upaya (OKU) UiTM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), semalam.
Kerjasama antara UiTM dan PERKESO merangkumi kerjasama dari segi akademik, perundingan, penerbitan dan penyelidikan yang berkaitan dengan pengurusan hilang upaya sekali gus penyediaan perkhidmatan rehabilitasi oleh PERKESO akan dilaksanakan bersama Hospital UiTM.
Program buat warga OKU UiTM
Menerusi MoU ini, terdapat beberapa program yang dapat memberikan persekitaran yang lebih kondusif, inklusif dan selamat kepada warga OKU UiTM untuk kembali bekerja dan juga belajar dalam keadaan yang sihat dan selesa.
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, YBhg. Profesor Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor berkata, salah satu program yang strategik adalah Program Return to University (R2U), di mana program tersebut merupakan program pengurusan hilang upaya bagi membantu warga UiTM yang cedera, menghidapi penyakit atau OKU.
Di sinilah, kepakaran PERKESO dalam program Return to Work (RTW) akan digunakan. R2U diadaptasi dan dimurnikan mengikut kesesuaian persekitaran UiTM yang bukan hanya tempat untuk bekerja malahan untuk belajar.
Program R2U tersebut merupakan program yang pertama yang seumpamanya diwujudkan di institusi pengajian tinggi di Malaysia. Selaras dengan fokus Unit Perkhidmatan OKU UiTM pada tahun ini, kolaborasi strategik dalam pengurusan kurang upaya (disability management) turut dirancang bersama PERKESO bagi melebarkan sayap di peringkat antarabangsa khususnya dalam pengurusan kurang upaya.
Menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO UiTM)
UiTM juga telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO UiTM) dan sekali gus menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang meletakkan unit perkhidmatan OKU di bawah pentadbiran Pejabat Naib Canselor.
Selain daripada itu, bagi tujuan pemerkasaan warga OKU UiTM pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan menerusi jalinan kolaborasi dengan industri luar dalam pelbagai aspek termasuk penyelidikan dan penerbitan.
Ketua Eksekutif PERKESO, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed berkata, kerjasama di antara UiTM ini bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai ahli masyarakat yang faham akan konsep pengurusan hilang upaya, malah mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi seperti sifat empati dan prihatin dalam menjalankan program dengan lebih efisien dan efektif.
Kerjasama ini juga dapat memberi pendedahan awal mengenai pengurusan hilang upaya di Malaysia kepada golongan mahasiswa pelapis pemimpin masa hadapan negara.
Pemeteraian MoU yang berlangsung di UiTM Shah Alam antara gerak kerja lanjutan daripada Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) di Institusi Pengajian Tinggi untuk menjadikan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih mesra kepada semua terutamanya terhadap golongan OKU di Malaysia.