berita

Pernah Buat Orang Geram Dalam Drama, Netizen Puji Wafariena Nyanyi Lagu Tokti Dalam Vokal Mania

October 25th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Program nyanyian terbaharu iaitu Vokal Mania telah membuka tirainya semalam. Empat orang ‘Rookies’ (penyanyi amatur) iaitu Aisya Retno, Wafariena, Tuah Adzmi dan Alif Kadim telah berentap dengan ‘idol’ mereka iaitu Aina Abdul, Indah Ruhaila, Lan Solo dan Tomok bagi merebut gelaran ‘Juara’.

Artikel berkaitan: 24 ‘Rookies’ Bakal Cabar Penyanyi Profesional Dalam Vokal Mania

Dalam episod pertama, pelakon drama ‘7 Hari Mencintaiku 2’ iaitu Wafariena ternyata mencuri tumpuan netizen kerana menyanyikan lagu ‘Aku Bidadari Syurgamu’ nyanyian Dato Seri Siti Nurhaliza. Meskipun, tewas dengan ‘idol’ Lan Solo, netizen tidak sangka pelakon itu berkebolehan dalam bidang nyanyian.

Vokal Mania

Pentas Vokal Mania dibuka oleh Aisya Retno dengan lagu ‘Getaran Jiwa’ dan diikuti lagu ‘Di Pintu Syurga’ daripada Tomok. Dalam pusingan duet, mereka telah menyanyikan lagu ‘Jangan Kau Mimpi’ nyanyian Siti Sarah. Kehebatan vokal Aisya dalam pusingan solo dan duet ternyata membawa tuah kepadanya apabila meraih ‘Rookie Star Award’ dan membawa pulang ganjaran sebanyak RM1,000.

Manakala, Wafariena, Tuah Adzmi dan Alif Kadim tewas dengan ‘idol’ mereka dalam episod tersebut. Menurut juri tetap Vokal Mania iaitu Misha Omar, Wafariena perlu memahami watak sebelum menyanyikan lagu penyanyi nombor satu negara iaitu Tokti. Tambahnya, Wafariena perlu berhati-hati dari segi dinamik.

Mengenai persembahan Tuah Adzmi pula, Misha memberitahu penyanyi itu masih muda dan perlu menggali lirik lagu secara mendalam agar jalan cerita yang hendak disampaikan dapat dirasai oleh para pendengar. Manakala, persembahan Alif pula disifatkan sebagai terlalu selesa sehingga tidak dapat dirasai oleh Misha.

Pandai nyanyi dan berlakon

Rata-rata netizen kagum dengan suara Wafariena. Tambah netizen, Wafariena perlu berusaha lebih lagi sekiranya dia ingin menjadi seorang penyanyi. Selain Aisya Retno, Wafariena, Tuah Adzmi dan Alif Kadim, Vokal Mania juga akan menampilkan Aedy Kama, Afieq Shazwan, Aufahanie, Danial Chuer, Daniesh Suffian, Daus Husny, Eranzz Lambert, Erin, Fatin Afeefa, Fiera, Hakeemzamall, Hariz Danial, Nisha Haque, Nuha Bahrin, Nur Syafiq Naser, Qiem Churros, Razak A’ai, Yuveena, Zareef Sein dan Zetty Rashid sebagai ‘Rookies’.

Jadi, korang jangan lupa saksikan Vokal Mania setiap hari Sabtu, jam 9 malam di TV3. Korang juga boleh menonton secara langsung di Youtube TV3 Malaysia dan portal Tonton untuk melihat kesemua persembahan artis profesional dan Rookies. Di samping itu, korang juga boleh layari portal Xtra dan laman sosial TV3 untuk maklumat lanjut dan jangan lupa gunakan #vokalmania di platfom media sosial korang.

Sumber: TV3 Malaysia

The following two tabs change content below.

×