Bekas penyanyi kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin bin Wan Ismail mendedahkan sehingga ke hari ini masih ada segelintir pihak yang melabelkannya sebagai bekas banduan.
Artikel Berkaitan: Ameng Spring Juarai Pertandingan Nasyid Dalam Penjara
Pengacara label sebagai ‘band dadah’
Memetik laporan Harian Metro, dia pernah berdepan dengan situasi di mana seorang pengacara melabelkannya serta beberapa pemuzik dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai ‘band dadah’ ketika menjayakan satu persembahan di Besut Terengganu.
Ini bukan gurauan kerana mukanya serius. Pengacara cakap main lepas saja. Dia tak tahu nama band apa dan main sebut nama ini. Memang malu rasanya.
Ia memang dikira kes naya juga. Kita pun bekas penagih, jadi memang malulah. Namun, apa yang dikatakan ada betulnya. Sebenarnya kita kena semak diri kita.
Kita pernah buat salah. Jadi, kena terima benda ini. Parutnya takkan hilang. Apabila dah tercalar, parutnya tetap ada. Jadi, kena faham benda ini.
Namun begitu, Ameng mendedahkan dia tidak terasa hati dengan situasi itu namun mengakui dirinya menyesal kerana pernah terbabit dengan dadah.
Mahu ubah diri menjadi lebih baik
Dalam pada itu, Ameng mengakui kesilapan yang dilakukannya dahulu dan kini nekad mahu mengubah kehidupannya menjadi lebih baik.
Sampai sekarang orang labelkan begini (negatif). Ini adalah kesalahan saya sendiri. Kita tak boleh salahkan orang sebenarnya. Ini yang saya selalu kongsi kepada bekas penagih.
Kadang-kadang bekas penagih dan banduan malu nak kembali kepada masyarakat. Mereka tanya pendapat saya dan saya kata kena ketepikan pandangan orang.
Yang penting kita betulkan diri kita. Kita buat untuk diri kita, bukan untuk orang. Kita nak selamatkan diri kita supaya kehidupan kita jadi lebih baik. Orang bercakap jangan ambil peduli. Sebab kita nak tutup mulut orang memang tak boleh.
Sekadar info, pelantun lagu Butakah Cinta itu pernah dihukum penjara kerana kesalahan dadah pada tahun 2011 sebelum dibebaskan pada tahun 2016.
Sejak dibebaskan, Ameng seakan mendapat nafas baru selepas mula mendapat tempat di dalam industri dan mula diterima baik oleh peminat muzik tanah air.
Sumber: Harian Metro