Penyanyi dan pelakon kacak kelahiran Indonesia iaitu Gabriel Prince Soerijo berkongsi pengalaman hidupnya apabila pernah ‘dilamar’ oleh rakan baiknya.
Kisah benar diceritakan dalam lagu ‘Sunday’
Ketika ditemui OhBulan! di majlis pelancaran lagu ‘Sunday’, pada Selasa, Gabriel Prince atau lebih mesra dengan panggilan Prince memberitahu bahawa idea lagu terbaharunya itu diinspirasikan daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Lagu ini berkisahkan tentang kawan saya dahulu pernah meluahkan perasaan cintanya kepada saya. Tetapi saya tak boleh terima cintanya kerana takut kehilangan persahabatan yang terjalin. Kisah itu terjadi pada hari Ahad (Sunday) dan disebabkan itu, saya pilih Sunday sebagai tajuk lagu ini.
Dalam pada itu, Prince yang pernah membintangi drama Laut Tengah itu memberitahu masih menjalinkan hubungan baik dengan wanita tersebut.
Lagu yang menceritakan tentang cinta tidak berbalas ini merupakan hasil ciptaan penyanyi Kaleb J dan penerbit lagu, Belanegara Abe.
Sebelum pembikinan lagu, kami mengadakan perjumpaan. Saya dan penerbit menulis lagu bersama-sama. Tempoh menghasilkan lagu ini mengambil masa hampir sebulan setengah dan penggambaran filem pendek lagu Sunday adalah selama dua hari.
Apabila ditanya mengenai fotonya bersama seorang wanita yang memakai gaun pengantin seolah-olah menggambarkan mereka berdua telah bernikah, Prince memberitahu itu adalah untuk penggambaran filem pendek.
Peminat memang terkejut, ramai yang DM dan komen meluahkan rasa kecewa dan sedih. Mereka sangka saya sudah berkahwin tapi sebenarnya tidak. Itu adalah untuk filem pendek lagu Sunday yang kini ditayangkan di Youtube.
Untuk info, filem pendek untuk lagu “Sunday” yang dibintangi oleh Gabriel Prince dan artis Nicole Parham ini boleh ditonton di YouTube Gabriel Prince Official Channel selain boleh didengarkan di semua plaform muzik streaming.