berita

Pernah Kemalangan Ketika Usia Empat Tahun, Hariz Hamdan Mengaku Fobia Darah

January 24th, 2024 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Pelakon muda meningkat naik iaitu Hariz Hamdan mendedahkan dirinya berdepan fobia terhadap darah selepas melalui pengalaman kemalangan ketika zaman kanak-kanak.

Artikel Berkaitan: ‘Badan Awak Sedaplah, Boleh Tak Nak…’ – Hariz Hamdan Dedah Pernah Diganggu Kaum Lelaki

Darah memancut keluar

Ketika ditemui OhBulan!, Hariz atau nama sebenarya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan berkata, kemalangan tersebut bukan sahaja meninggalkan kesan emosi kepada dirinya malah turut meninggalkan kesan parut yang masih boleh dilihat sehingga ke hari ini.

Namun begitu, pelakon berusia 22 tahun itu meluahkan rasa syukur apabila perasaan fobianya itu mula berkurangan dan dapat dikawal di kala usianya yang sedang meningkat.

Saya mula fobia dengan darah selepas berlaku satu insiden kemalangan ketika saya berusia empat tahun.

Saya tak ingat sangat, tapi yang saya ingat, tangan saya bergesel dengan tayar kenderaan dan berparut sampai sekarang.

Alhamdulillah, sekarang rasa fobia itu semakin terkawal. Kalau tidak, memang saya akan mula fobia bila nampak darah.

Hariz berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada tayangan perdana filem ‘Banglo Seksyen 12’ yang diadakan di GSC Lalaport, Bukit Bintang City Centre pada malam Selasa.

Ketika ditanya mengenai perasaan melakonkan babak pemujaan dengan menggunakan bangkai ayam, Hariz menjelaskan bahawa agak sukar dan mencabar untuknya melakukan babak tersebut.

Saya jarang menonton filem seram sebab saya penakut. Jadi, boleh dikatakan, saya tak banyak rujukan. Memang mencabar untuk saya jayakan filem ini.

Gemuruh memang ada terutamanya sewaktu menjayakan babak pemujaan menggunakan ayam mati. Ia memang ayam yang betul dan darah pun memang darah betul.

Yang lebih mencabar adalah, saya memang ada fobia terhadap darah. Jadi, ambil masa juga untuk saya sempurnakan babak itu. Saya cuba yakinkan diri bahawa saya mampu untuk buat.

Selain Hariz, antara pelakon yang turut membintangi filem arahan pertama Intan Ladyana ini termasuklah Aniq Suhair, Intan Ladyana, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi.

SKIP THIS AD ×