berita

Pernah Tawar RM140k Sebagai Ganjaran, Rindu Terubat Anak Dijumpai Selepas 14 Tahun Diculik

December 8th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Foto: Shine

Kerinduan pasangan suami isteri di Wilayah Hubei, China terhadap anak lelaki mereka yang dilaporkan hilang pada 9 Oktober 2007 akhirnya terjawab apabila mereka berjaya disatukan kembali selepas pihak polis melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Difahamkan, remaja dikenali sebagai Sun Zhuo berusia 18 tahun dipercayai telah diculik ketika berusia 4 tahun oleh seorang penculik lelaki yang ketika itu menawarkan mainan dan makanan ringan kepadanya.

Keluarga akhirnya bersatu

Foto: Global Times

Memetik laporan Global Times, proses pencarian remaja ini dilakukan bertahun-tahun dan pelbagai jabatan telah dikerah bagi mencari mangsa serta pemadanan menerusi ujian DNA turut dilakukan. Bapa kepada mangsa, Sun Haiyang dilihat menangis dan gagal menahan sebak serta memeluk anak lelakinya dengan begitu erat selepas mereka kembali disatukan menerusi sebuah majlis perjumpaan semula di Shenzhen, Wilayah Guangdong, China Selatan.

Selepas peristiwa hitam itu, si bapa sama sekali tidak berputus asa bagi mencari anaknya dan turut menukar papan tanda kedainya serta menawarkan ganjaran sebanyak 200,000 yuan (anggaran RM132,853.84) kepada sesiapa yang berjaya memberi petunjuk tentang keberadaan mangsa. Bukan itu sahaja, si bapa dikatakan sanggup menjual asetnya bagi menampung kos membayar mana-mana individu yang berjaya membantunya.

Bapa sama sekali tak putus asa

Foto: Shine

Mengulas lebih lanjut, Sun Haiyang sudah beberapa kali diberikan ‘harapan palsu’ serta kecewa selepas mendapat analisis DNA namun, anaknya masih tidak berjaya dijumpai. Semasa proses tersebut, lelaki ini telah mengenali banyak keluarga yang turut menerima nasib yang sama sepertinya dan dia telah menubuhkan kesatuan bagi mencari kanak-kanak yang hilang melalui kerjasama pihak non-governmental organization (NGO), polis dan media.

Sehinggalah satu hari, pihak polis memaklumkan anaknya yang hilang selama ini telah ditemui di Wilayah Shandong China Timur dan perkara tersebut dikuatkan lagi menerusi semakan analisis DNA. Bagaimanapun, menerusi temu bual bersama sebuah televisyen China Central Television selepas pertemuan tersebut remaja lelaki ini dikatakan enggan untuk kembali kepada ibu bapa kandungnya berikutan telah terhutang budi dengan ibu bapa angkatnya yang telah membesarkannya selama lebih 10 tahun.

Saya mempunyai rumah baharu sekarang, tetapi kedua-dua belah pihak adalah ibu bapa saya.

Kini, pihak polis telah menahan sembilan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan Sun Zhuo dan penculikan dua mangsa lain yang telah hilang selama lebih sedekad (10 tahun).

Boleh tonton filem Dearest

Foto: Shine

Sebagai tambahan kalau korang nak tahu, kisah ini telah diadaptasi ke dalam sebuah filem yang cukup menyayat hati iaitu Dearest. Filem sedih ini telah diarahkan oleh pengarah Hong Kong terkenal, iaitu Peter Chan dan filem ini berjaya hit box office pada tahun 2014.

Sumber: Global Times & Shine

SKIP THIS AD ×