berita

Perniagaan Atas Talian Kini Menjadi Pilihan Untuk Mengembangkan Perniagaan Rentas Sempadan

December 7th, 2020 | by Sya Alkaf
Kewangan & Pelaburan

Kredit Foto – Dagangnews

Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik 2020 (APEC 2020) telah pun melabuhkan tirainya pada 20 November yang lalu. APEC 2020 yang disertai 21 pemimpin ekonomi APEC dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Acara yang dihoskan Malaysia buat kali kedua ini mengangkat tema ‘Re-Imagined: Priorities In The Aftermath of COVID-19’ dan buat julung kalinya diadakan secara maya berikutan wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Antara topik yang diketengahkan sepanjang persidangan berlangsung adalah kemunculan ekonomi dan teknologi digital, peranan wanita dan golongan muda sebagai tulang belakang ekonomi serta bagaimana caranya mempersiapkan dua golongan ini menghadapi perubahan.

APEC bantu anak muda & wanita meneruskan kelangsungan perniagaan

Jualan secara atas talian dapat mengurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti produk

Pengasas bersama Fere Foods, Faiq Nizar berkata dengan perkembangan teknologi digital ianya membantu pemasaran produknya menjadi lebih mudah.

Faiq dapat mengurangkan kos perbelanjaan kerana tidak perlu menyewa sebuah kedai khas untuk meneruskan jualan, kini semuanya boleh dilakukan dari rumah sahaja. Jimat dan mudah, malah kualiti produk juga terjamin meski dengan kos perbelanjaan yang minima.

Dia juga kagum dengan perlaksaan APEC 2020 yang berjaya mengumpul wakil dari serata dunia secara maya.

“Saya kagum dengan dedikasi kesemua 21 negara yang terlibat dalam memastikan APEC 2020 dapat diteruskan dengan jayanya meskipun berdepan halangan untuk berkumpul di bawah satu bumbung pada tahun ini.

Dengan cabaran zon waktu yang berbeza untuk sidang video, kesemua wakil tetap dapat memenuhi komitmen mereka untuk APEC 2020 tanpa mengira perbezaan jam. Ini menunjukkan kesemua mereka benar-benar berdedikasi dalam mencapai kata sepakat melalui APEC 2020.”

Isu yang diketengahkan APEC 2020 bantu peniaga kembangkan perniagaan

Buat Munirah Rahman pemilik Santuun, inisiatif APEC 2020 dalam mendorong PKS ke arah digital sangat membantu mereka yang menjalankan bisnes melalui media sosial terutama sekali untuk usahawan wanita sepertinya.

“Sebagai seorang isteri dan ibu, saya perlu sentiasa berada di rumah dan menjaga anak, jadi perniagaan di atas talian memudahkan saya menjana pendapatan dan dapat mengekalkan perniagaan saya sehingga kini.

Saya merasakan usaha dan cara pengendalian APEC 2020 adalah teliti dan menyeluruh. Tema yang dibincangkan memberi peluang kepada usahawan yang terjejas dengan perniagaan mereka lebih-lebih lagi terhadap peniaga wanita dan anak muda. Banyak isu yang dibincangkan dapat membantu usahawan seperti kami yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan dan perdagangan rentas sempadan.”

Usaha APEC membantu usahawan untuk lebih maju dan membina ekonomi Malaysia

Selari dengan arus pemodenan semasa hampir semua rakyat Malaysia mempunyai telefon pintar dan aktif di laman media sosial, secara tidak langsung ianya memudahkan Isfahani Mohd Jalal pengusaha sweetnessbyhm untuk mempromosikan pakej perkahwinan dan gubahan bunga tangannya melalui platform ini.

Dia juga percaya usaha yang diketengahkan APEC berpotensi membuka peluang untuk usahawan wanita bersama anak muda lebih maju dan dapat membantu perkembangan ekonomi negara.

“Usaha APEC dalam isu-isu yang dibincangkan oleh APEC adalah isu yang penting dalam kalangan usahawan yang ingin memajukan perniagaan mereka. Saya kagum dengan ketelitian mereka dalam setiap isu yang dibincangkan dan bangga dengan Malaysia yang bertanggungjawab sebagai tuan rumah APEC.”

Bangkit dari impak ekonomi akibat COVID-19

Seperti yang kita sedia maklum, kesan COVID-19 kepada ekonomi semasa agak membimbangkan. Ramai pengusaha perniagaan terpaksa mengambil tindakan drastik dengan mengurangkan pekerja atau lebih parah lagi sehingga menghentikan operasi perniagaan sepenuhnya.

Mengambil kira permasalahan yang kian meruncing ini, pemimpin ekonomi APEC berazam untuk membantu seluruh rantau Asia Pasifik pulih sepenuhnya daripada impak ekonomi berasaskan 3 pemacu ekonomi utama yang diperkenalkan sebagai Wawasan 2020 Putrajaya.

 1. Perdagangan dan pelaburan 

APEC bakal meneruskan kerjasama bagi memastikan perdagangan dan pelaburan dijalankan secaran terbuka, adil, telus dan tidak mendiskrimanasi mana-mana pihak agar Asia Pasifik dapat terus kekal sebagai hub ekonomi dunia berhubung kait yang paling dinamik.

Mereka juga menyokong sepenuhnya peraturan dan syarat World Trade Organization (WTO) bagi memastikan sistem perdagangan pelbagai hala dapat dilaksanakan dengan sistematik untuk mengalakkan stabiliti serta keboleh ramalan aliran perdagangan antarabangsa.

 2. Ekonomi digital dan teknologi

Bagi membolehkan pengusaha dan perniaagaan mereka dapat berkembang ke pasaran ekonomi global, para pemimpin APEC bakal memperkukuhkan infrastruktur digital bagi memacu tranformasi digital yang lebih dinamik.

Mereka juga sedang berusaha meningkatkan kepercayaan pengguna dalam melakukan transaksi secara digital supaya keupayaan teknologi ini dapat membantu para peniaga meningkatkan hasil jualan mereka di atas talian, yang mana secara tidak lansung dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekonomi negara.

 3. Memacu Kelastarian Innovatif

Bimbang akan impak COVID-19 yang mempengaruhi bekalan makanan global satu langkah khas bakal diambil bagi memastikan bekalan makanan yang diagihkan di pasaran adalah selamat, bernutrisi dan mencukupi untuk orang ramai. Pada masa yang sama mereka juga sedang berusaha ke arah pengurangan kerugian serta pembaziran makanan demi kelastarian bumi.

Selain itu, mereka juga komited mempromosikan peralihan sumber tenaga yang lebih bersih sebagai salah satu proses pemulihan inklusif ekonomi.

Untuk maklumat lanjut mengenai forum APEC 2020 dan juga Visi Putrajaya APEC 2040 sila layari laman web rasmi APEC 2020 ataupun laman media sosial rasmi mereka.

×