Hari ini, PETRONAS dan anak syarikatnya, PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) menandatangani perjanjian penajaan selama tiga tahun dengan Badminton Persatuan Malaysia (BAM).
Untuk pengetahuan korang, perjanjian penajaan ini bertujuan membentuk perkongsian yang dijangka akan meningkatkan lagi prestasi badminton Malaysia.
PETRONAS bantu persiapan pemain negara menjelang Olimpik Paris 2024
Perjanjian yang ditandatangani oleh Presiden BAM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani ini juga sebagai tanda sokongan PETRONAS dalam membantu meningkatkan latihan dan persiapan pemain negara, terutamanya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, serta menyumbang kepada keseluruhan program pembangunan BAM.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada perjanjian penajaan, logo PETRONAS akan ditonjolkan pada jersi pasukan kebangsaan, bermula pada Kejohanan Badminton Terbuka Yonex All England 2022 yang akan berlangsung dari 16 hingga 20 Mac 2022.
PETRONAS juga akan menjadi penaja utama Malaysia Open, atau secara rasminya akan dinamakan sebagai PETRONAS Malaysia Open 2022 dari 28 Jun hingga 3 Julai. Akademi Badminton Malaysia (ABM) juga kini dikenali sebagai PETRONAS ABM.
Selain itu, sebagai rakan kongsi bahan api rasmi BAM, PDB juga akan menaja bahan api dan bekalan pelincir bersama-sama produk Mesra lain seperti air mineral dan hand sanitiser.
PETRONAS & PDB bangga dapat bekerjasama dengan BAM untuk martabatkan badminton Malaysia
Menurut Azrul, “Sebagai sebuah syarikat yang komited untuk memperkasakan Malaysia, kami berkongsi keazaman Persatuan ke arah pembangunan yang mampan dan berterusan supaya sukan ini selaras dengan visi mereka untuk berjaya secara konsisten di peringkat dunia”.
“Badminton juga merupakan salah satu sukan yang paling popular dan mudah diakses dalam kalangan rakyat Malaysia. Jadi, kerjasama ini adalah peluang terbaik untuk kami mempromosikan jenama PETRONAS di pelbagai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.”
“Kerjasama dengan PETRONAS ini merupakan satu perubahan untuk BAM” – Presiden BAM
Manakala, menurut Presiden BAM, Tan Sri Norza, program pembangunan BAM dan operasi ABM menelan belanja yang tinggi, atas sebab itu sumbangan PETRONAS sangat membantu.
“Terima kasih kepada PETRONAS atas sumbangan besar ini, kini kami boleh mengalihkan tumpuan kami kepada objektif utama untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada powerhouse badminton di dunia,” tambahnya.
Ujarnya lagi, penajaan ini datang pada masa yang tepat memandangkan BAM sedang membuat persiapan untuk beberapa siri pertandingan utama termasuk Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Thomas dan Piala Uber 2022 dan Sukan Olimpik Paris.
Beliau juga menambah bahawa pemain badminton negara kita yang akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada perkongsian antara PETRONAS dan BAM ini, kerana ia akan memartabatkan program sedia ada BAM.
“Kita akan dapat menghantar lebih ramai pemain termasuk pemain muda ke luar negara untuk pelbagai kejohanan antarabangsa di mana pendedahan dan pengalaman akan mempercepatkan perkembangan mereka.”
Teruskan menyokong pasukan badminton Malaysia dengan mengikuti Instagram @PETRONAS, @PETRONASbrands dan @ba_Malaysia sekarang!