berita

PM Beri 3 Contoh Perniagaan Layak Terima Bantuan, Kreativiti Rakyat Sepanjang PKP Tarik Perhatian

April 6th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan satu sidang media sebentar tadi, bagi mengumumkan Pakej Prihatin Nasional PKS (Tambahan) bagi membantu perniagaan mikro dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika penularan wabak Covid-19.

Menerusi sidang media itu juga, Tan Sri Muhyiddin turut memberikan 3 contoh buat masyarakat agar mereka lebih faham akan perkara yang hendak disampaikan.

Contoh Lee Beauty Saloon

Untuk membantu pengusaha PKS memahami inisiatif-inisiatif yang saya umumkan tadi, saya ingin memberikan beberapa contoh mudah. Contoh pertama ialah Lee Beauty Saloon, iaitu sebuah PKS mikro yang terlibat dalam sektor perniagaan dandanan rambut. Saloon ini mempunyai 2 orang pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000.

Pemilik saloon ini, Madam Lee ingin merancakkan semula perniagaannya selepas tamat tempoh PKP. Dengan pelaksanaan semua bantuan yang telah diumumkan Kerajaan, Madam Lee boleh mendapat manfaat subsidi upah tiga bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro sebanyak RM3,000. Kesuluruhan manfaat yang diterima oleh Madam Lee ialah sebanyak RM10,200.

Contoh Mi Kolok Haji Salleh

Sekadar gambar hiasan

Contoh kedua pula ialah Restoran Mi Kolok Hj Salleh di Kuching Sarawak. Katakan restoran ini mempunyai 5 orang pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah dan 2 orang pekerja asing. Untuk menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, pemilik restoran ini boleh mendapatkan pinjaman kredit mikro BSN sebanyak RM50,000 dan subsidi upah untuk 5 orang pekerja berjumlah RM18,000.

Di samping itu, pemilik restoran ini juga boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, tangguhan cukai berjumlah RM5,200, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM2,300 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM300. Keseluruhan manfaat yang boleh diterima, tidak termasuk pinjaman kredit mikro, ialah sebanyak RM34,200 untuk tempoh 3 bulan.

Contoh Syarikat Surjit Kaur Sdn.Bhd

Contoh terakhir ialah Syarikat Surjit Kaur Sdn. Bhd. Syarikat ini adalah sebuah syarikat bersaiz kecil dalam sektor perkilangan perabot dengan 15 orang pekerja. 5 orang adalah pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah, 10 orang pekerja asing dan selebihnya pekerja tempatan bergaji lebih RM4,000. Bagi memastikan syarikat dapat menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, Syarikat Surjit Kaur boleh mendapatkan pinjaman Special Relief Facility (SRF) sebanyak RM500,000 dan subsidi upah berjumlah RM18,000.

Selain itu, syarikat juga boleh menikmati penjimatan melalui pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM4,600, tangguhan cukai PKP Mikro sebanyak RM32,700 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM100. Keseluruhan manfaat yang diperolehi oleh syarikat ini, tidak termasuk pinjaman SRF, ialah sebanyak RM63,800.

Terhibur kreativiti rakyat Malaysia

Kreativiti masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut mencuri perhatian Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini kerana, beliau menyedari ada sesetengah suami sanggup memakai baju kelawar isteri dan ada juga yang yang mengubah ucapannya sebagai lagu.

Saya tahu setelah tiga minggu saudara-saudari berkurung di rumah, mungkin ada di kalangan saudara-saudari yang berasa agak terbeban dengan dugaan dan ujian Tuhan ini. Selama tiga minggu ini, kita terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang biasa kita buat. Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan. Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban.

Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu. Saya harap ini bukanlah kejadian pelik, atau buang tabiat kata orang. Ini adalah sebahagian daripada kreativiti anda semua untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah.

Yang penting saya fikir saudara-saudari mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian. Dan saya yakin Tuhan tidaklah menguji atau membebani kita dengan sesuatu yang tidak boleh kita tanggung.

Sumber: Buletin TV3 

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×