Polis membantu seorang penunggang motosikal yang mengendong anak dengan ikatan kain pelikat dari Batu Gajah, Perak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), pada Sabtu.
Pasukan peronda tolong hantar anak pulang
Foto: FB JSPT PDRM
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku di Kilometer 435.1 Lebuhraya Latar arah selatan kira-kira pukul 4 petang, Sabtu.
Melihat kepada situasi itu, pasukan peronda telah menahan penunggang motosikal terbabit.
Hasil soal siasat mendapati kanak-kanak lelaki yang dikendong itu adalah anak kandungnya berumur sembilan tahun dan sedang dalam perjalanan ke Dang Wangi, Kuala Lumpur selepas pulang beraya di Batu Gajah, Perak.
Menurut kenyataan itu lagi, polis telah menasihatkan individu tersebut bahawa perbuatan tersebut mampu mendatangkan bahaya kepada dirinya dan pengguna jalan raya yang lain.
Atas faktor keselamatan, pasukan peronda telah mendapatkan kebenaran Komander Lebuhraya Zon Tengah A dan Gerakan Trafik untuk membawa dan menghantar kanak-kanak itu sambil diiringi ayahnya hingga ke kediaman mereka di Flat Selayang, Jalan Chow Kit 4, Kuala Lumpur.
Justeru, pihak polis menasihatkan pengguna lebuhraya agar lebih peka dengan soal keselamatan dan berhati-hati semasa pemanduan di musim perayaan.
OP Selamat 18 telah menyaksikan pertambahan kenderaan di Lebuhraya utama negara, yang mana warga kota kembali pulang ke ibu negara selepas menyambut perayaan Aidilfitri di kampung halaman.
Sumber: JSPT PDRM