
Pelakon Kim Soo-hyun didakwa menjadi mangsa fitnah selepas polis Korea Selatan mendapati tuduhan kononnya dia bercinta dengan mendiang Kim Sae-ron ketika bawah umur adalah palsu.
Kim Soo Hyun terlepas tuduhan

Menurut siasatan, beberapa tangkap layar perbualan KakaoTalk yang didedahkan oleh YouTuber kontroversi Kim Se-eui sebenarnya telah disunting dengan menukar nama individu dalam perbualan kepada ‘Kim Soo-hyun’.
Polis kemudian mendapati identiti sebenar individu dalam perbualan itu tidak pernah disahkan, namun bahan tersebut disebarkan seolah-olah membuktikan hubungan antara kedua-dua selebriti berkenaan.
Selain itu, fail audio yang didedahkan pada Mei tahun lalu turut dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI bagi menyerupai suara Kim Sae-ron. Malah Kim Se-eui didakwa menyebarkan maklumat palsu itu demi keuntungan termasuk pendapatan daripada YouTube.
Dalam perkembangan sama, peguam keluarga Kim Sae-ron juga disiasat selepas dipercayai membantu menyebarkan dakwaan tersebut secara terancang.
Bagaimanapun, peguam Kim Soo-hyun iaitu Ko Sang-rok menegaskan pihaknya tidak pernah membuat laporan polis terhadap peguam keluarga mendiang. Namun, penyiasat dipercayai menemui unsur konspirasi sepanjang siasatan dijalankan.
Menurut polis, kontroversi itu memberi kesan terhadap reputasi, kerjaya dan sumber pendapatan Kim Soo-hyun sehingga pelakon itu dilaporkan masih menerima rawatan psikiatri.
Difahamkan, Kim Se-eui menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa permohonan waran tangkap terhadapnya dibuat bagi menghalang pendedahan lain yang ingin dilakukannya.
Prosiding mahkamah berhubung semakan waran tangkap terhadap YouTuber berkenaan dijadualkan berlangsung pada minggu depan
Sumber: Korea Joongang Daily








