Misteri kehilangan seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi sejak lapan bulan lalu akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui di dalam tong sampah pada 31 Disember lalu adalah milik mangsa.
Artikel Berkaitan:8 Bulan Hilang..Mayat Tanpa Kepala, Kaki & Tangan Dipotong, Dibuang Dalam Tong Sampah Rupanya Milik Cikgu Istiqomah
Terbabit dalam urusan pelaburan
Terbaru, menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, pengesahan itu dibuat hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan, mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Tambah Ashari, risikan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Polis Alor Gajah berjaya menahan sepasang suami isteri, berusia 36 dan 37 tahun.
Pasangan ini ditahan di Chemor, Perak dan siasatan terhadap kedua-dua suspek membawa penemuan sebahagian anggota badan termasuk tulang jari dan bahagian kepala tidak jauh dari lokasi penemuan anggota badan dalam jarak kira-kira lima hingga enam kilometer (KM) dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan.
Ujar Ashari lagi, guru wanita yang mempunyai tiga anak itu, dipercayai mengenali suspek lelaki dan terbabit dalam urusan pelaburan, manakala isterinya tidak mengenali mangsa.
Kedua-dua individu yang ditahan telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu dan pihak polis akan mohon sambung reman hari ini terhadap suspek lelaki yang ditahan.
Jelas Ashari, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
Sumber: BH Online