Minggu lalu, viral sekeping gambar seorang posmen yang terduduk sedih di tepi jalan yang didakwa hidup susah kerana tidak mendapat bonus. Rata-ratanya melahirkan rasa bersimpati dengan nasib menimpa lelaki tersebut sehinggakan ramai menderma wang ke dalam akaun lelaki terbabit.
Walau bagaimanapun, posmen yang berusia 22 tahun itu datang membuat laporan polis dan menafikan dia terbabit dengan kutipan derma berkenaan.
Cuba buat laporan palsu
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, hasil soal siasat mendapati keterangan diberikan lelaki itu meragukan dan tidak dapat memberi penjelasan.
Berikutan itu, polis menahannya untuk siasatan lanjut sebelum dua lagi individu termasuk pentadbir akaun kumpulan Facebook yang menularkan cerita sedih itu turut ditahan.
Wanita berusia 35 tahun ditahan pada 10 malam semalam, manakala lelaki berusia 23 tahun ditahan pada 12.05 tengah malam tadi apabila mereka menyerah diri selepas posmen terbabit dicekup.
Tambahnya lagi, pihak polis mendapati posmen itu cuba membuat laporan polis palsu, malah nama yang digunakannya juga tidak wujud.
Tiga orang direman
Dalam pada itu, siasatan awal mendapati posmen itu memperoleh kutipan derma sebanyak RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya dan sudah digunakan membeli barangan keperluan.
Siasatan juga didapati dua suspek terbabit mengaku bersubahat dengan posmen itu dengan memuat naik cerita dan gambar yang boleh meraih simpati warganet.
Ketiga-tiga mereka direman selama tiga hari hingga Ahad ini untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Berikutan kes tersebut, polis turut merampas kesemua telefon pintar ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut. Terdahulu kisah tersebut viral selepas laman Facebook milik Masakan Utara Barat berkongsi kisah posmen tersebut.
Respon netizen
Sumber : Harian Metro, myjoe