Dalam berkawan, bukan semua orang yang hadir dalam kehidupan kita akan menjadi tempat untuk berkongsi segala cerita dan masalah.

Ada yang selesa mempunyai ramai kenalan, namun tetap memilih hanya segelintir individu untuk benar-benar dipercayai dan dibawa masuk ke dalam ruang peribadi.

Artikel Berkaitan: POV XTRA: Selebriti Tak Boleh Silap? Qistina Khaled Akui Hidup Dalam Pemerhatian – ‘Hanya Manusia Biasa, Tapi Perlu Jadi Sempurna’

Artikel Berkaitan: POV XTRA: ‘Pengikut Ramai Bukan Tiket Jadi Pelakon, Yang Penting Bakat & Niat’ – Qistina Khaled

POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.

Menerusi segmen POV XTRA, pelakon, Qistina Khaled mengakui dirinya cukup selektif apabila melibatkan soal persahabatan, malah hubungan baik bersama rakan industri kebanyakannya hanya berlaku ketika berada di lokasi penggambaran.

Menurut Qistina, dia boleh bergaul dan berkawan dengan sesiapa sahaja ketika bekerja, namun tidak semestinya hubungan itu diteruskan di luar set.

Saya sangat memilih dalam berkawan. Saya kawan dengan semua orang di set penggambaran, tapi di luar set tidak.

Saya tiada kawan di luar set penggambaran yang kalau saya ada masalah, saya akan cari dia atau setiap hari berjumpa.

Menurut Qistina, meskipun mampu menjalinkan hubungan baik dengan ramai individu, dia tidak mudah meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap seseorang.

Saya boleh baik dengan semua orang di set penggambaran, tapi saya tak percaya semua orang boleh ada untuk kita.

Pengalaman Lama Buat Qistina Lebih Berhati-Hati

Qistina turut mendedahkan pengalaman persahabatan sejak zaman persekolahan sedikit sebanyak membentuk cara dirinya melihat hubungan dengan orang lain hari ini.

Katanya, apabila benar-benar menghargai seseorang sebagai teman, dia mampu memberikan sepenuh komitmen dalam persahabatan. Namun pengalaman lalu membuatkannya memilih untuk tidak terlalu mudah berbuat demikian.

Saya kalau berkawan boleh beri 110 peratus, tetapi mostly tak sebab zaman sekolah dulu saya pernah berkawan, tapi bila berlaku sesuatu saya ambil perkara itu secara peribadi.”

Disebabkan itu, fokus utamanya ketika ini lebih tertumpu kepada kerjaya berbanding mencari hubungan persahabatan yang terlalu rapat.

Sekarang ini saya dalam fasa bekerja saja. Bila bekerja, kita akan berkawan.

Tapi untuk orang yang saya rasa macam saya boleh cerita semua benda, itu tak ada.”

Pilih Letak Batas Daripada Terus Menghukum

Dalam masa sama, Qistina mengakui dirinya agak sensitif dalam membaca karakter atau ‘energi’ seseorang, namun enggan terus membuat kesimpulan terhadap niat individu berkenaan.

Sebaliknya, dia memilih untuk menetapkan batas sebagai langkah menjaga dirinya sendiri.

Saya boleh rasa energi orang itu kalau dia fake, tapi apa pun intention orang, kita tak boleh nak terus hukum.

Apa yang saya lakukan, saya letakkan batas. Saya tetapkan prinsip, kalau berkawan di set penggambaran, hanya di set.

Bagi Qistina, menetapkan sempadan dalam persahabatan bukan bermaksud bermusuh atau enggan bergaul, sebaliknya menjadi caranya mengurus kepercayaan selepas pengalaman yang pernah dilalui.