Buletin FM dengan kerjasama Usanita Sdn Bhd dan Parlimen Titiwangsa berkongsi rezeki menerusi Program Ramadan Madani: Titipan Kasih, kepada golongan miskin bandar dan penduduk sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Kongsi rezeki
Menurut Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Hasan berkata sebanyak 220 bakul makanan yang berisi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bihun, susu, garam dan gula disumbangkan kepada golongan miskin bandar, di Masjid Jamek Kampung Baru, pada Selasa.
Kita memilih Kampung Baru kerana fokus kita untuk membantu golongan miskin bandar dan asnaf sebagai sebahagian program sumbangan sempena Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun.
Selain itu, kata Adzliana, 1,000 pek makanan untuk juadah berbuka puasa turut diagihkan kepada orang ramai.
Sumbangan mahasiswa
Dalam pada itu, kata Adzliana, aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) juga akan memperluaskan sumbangan ini kepada golongan mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Sabtu ini.
Semoga projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung golongan yang memerlukan, dengan hasrat kita untuk membantu dan berkongsi rezeki.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, penyampai radio Buletin FM, Izwan Azir dan Marsila Hassan serta pengacara Awal Ashaari dan Zoey Rahman.