berita

Program RKMAT-TD, Inisiatif Perumahan Lengkap Perabot & Perkakasan Elektrik Buat Anggota ATM!

November 20th, 2021 | by Nurul
Kini Trending

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah merasmikan Program Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera-Tentera Darat (RKMAT-TD) di Taman LTAT, Bukit Jalil.

Inisiatif perumahan yang dirancang oleh Kementerian Pertahanan melalui kerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ini menyediakan 2,000 unit kediaman dan pastinya mampu membuatkan anggota TDM tersenyum lega apabila proses pemindahan masuk anggota dan keluarga ke unit-unit kediaman sudah pun bermula mulai 18 November ini.

Pada hari pertama rancangan perpindahan juga, seramai 52 penghuni telah berjaya dipindah masuk ke Blok 2 RKMAT-TD. Nak tahu dengan lebih lanjut tentang program RKMAT-TD? Jom kami kongsikan!

RKMAT satu aspirasi ‘Keluarga Malaysia’

Untuk pengetahuan korang, RKMAT merupakan antara agenda utama di bawah RMKe-12 dan Bajet 2022 serta sangat berkait rapat dengan aspirasi Perdana Menteri, iaitu aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

Selain keterangkuman dan kebersamaan, RKMAT turut menititikberatkan kesejahteraan hidup setiap Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa, agama serta budaya, termasuklah kesejahteraan anggota ATM yang menyumbang  jasa, khidmat bakti dan pengorbanan kepada tanah air selama ini.

Program ini juga merangkumi empat (4) blok pangsapuri 38 tingkat dengan keluasan binaan 850 kaki persegi untuk setiap satu unit kediaman bagi memenuhi keperluan anggota Tentera Darat di Lembah Klang.

Unit kediaman ini turut dilengkapi perabot, perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serbaguna, gimnasium, surau dan unit kedai yang selesa dan kondusif untuk didiami.

Lebih banyak unit RKMAT yang akan dibina menjelang tahun 2030

Nampaknya anggota ATM kini dah boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Pertahanan melalui Blueprint Perumahan 2.0 sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 lagi unit RKMAT di seluruh negara dari tahun 2021 sehingga tahun 2030.

Jumlah ini termasuklah 8,852 unit RKMAT seperti diumumkan oleh YAB Perdana Menteri menerusi RMke-12 khusus untuk warga ATM.

Daripada jumlah 8,852 tersebut, sebanyak 1,509 unit sudah pun dalam proses pembinaan. Manakala, 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan. Dengan siapnya 2,000 unit RKMAT di Bukit Jalil ini, diharapkan ia memenuhi kira-kira 85% keperluan perumahan anggota ATM di Lembah Klang.

“RKMAT dapat kurangkan kos kehidupan”

Sementara itu, menurut seorang penghuni RKMAT, Koperal Ahmad Husairi Mohd Salleh, beliau amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerana menjaga kebajikan anggota ATM.

“Sebelum ini saya menyewa di sebuah rumah di sekitar Bandar Tun Razak dengan kos sewa sebanyak RM1,200 sebulan. Sebaik sahaja saya dimaklumkan menjadi salah seorang penghuni RKMAT, saya amat bersyukur kerana dapat mengurangkan kos kehidupan.

“Rumah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti perabot dan perkakas elektrik. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana menitikberatkan kebajikan anggota ATM.

“Rumah yang amat selesa untuk didiami”

Menurut Staf Sarjan Noor Azilla Hashim pula, segala keperluan asas dan keadaan rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas itu juga amat selesa untuk didiami.

Beliau yang sebelum ini tinggal di rumah sewa dengan kos sewa yang agak tinggi di sekitar Jalan Klang Lama, sangat gembira dan bersyukur apabila diberitahu menjadi penghuni RKMAT.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada ATM, Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerana menyediakan kediaman yang selesa untuk didiami. Ia juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan,” tambahnya.

SKIP THIS AD ×