Sejak 64 tahun merdeka, bidang pertanian negara telah melalui beberapa transformasi, namun aspek pertanian tidak pernah dipinggirkan dalam sebarang pelan pembangunan negara.
Sebagai pihak yang bertanggungjawab, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama FAMA menganjurkan program Semarak Tani Keluarga Malaysia (SKTM) @ Telupid bertujuan untuk menyampaikan maklumat tentang pendekatan serta dasar-dasar terkini Kerajaan kepada komuniti agromakanan di lapangan.
Usaha ini juga bagi memastikan keselamatan bekalan makanan negara sentiasa terjamin di samping meningkatkan ekonomi rakyat serta negara.
Jom kami kongsikan serba sedikit tentang program ini.
Untuk pengetahuan korang, program yang berlangsung selama tiga hari di Tapak Pasar Tamu Telupid ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Karnival My Best Buy Keluarga Malaysia, Kenduri Rakyat, Karnival Sukan Rakyat dan lain-lain lagi.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, usaha yang dijalankan MAFI ini adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas langsung komuniti agromakanan terhadap impak pelaksanaan dasar dan pendekatan Kerajaan serta memberikan keyakinan kepada komuniti agromakanan terhadap komitmen serta usaha-usaha berterusan Kerajaan bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka.
Usaha ini juga diteruskan secara terancang termasuklah penggubalan Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (atau DAN) yang bertujuan menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat, serta menjadikan sektor agromakanan berdaya saing.
MAFI akan menfokuskan kepada inisiatif untuk tingkatkan sektor agromakanan
Dalam pada itu, MAFI di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan memberi penekanan kepada inisiatif bagi meningkatkan keupayaan sektor agromakanan sebagai suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Antara insiatif tersebut adalah projek menaiktaraf Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk mentransformasikan Pasar Tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya.
Sehingga September 2022, 10 lokasi Pasar Tamu telah dinaiktaraf iaitu 8 lokasi Pasar Tamu telah beroperasi, manakala 2 lokasi Pasar Tamu masih di peringkat pembinaan iaitu di Sebuyau, Sarawak dan Tuaran, Sabah.
Melangkah kehadapan, FAMA akan membangunkan beberapa projek pemasaran pertanian di Kawasan Telupid ini seperti menaik taraf Pasar Tamu sedia ada serta membangunkan Pusat Pengumpulan Ladang dan Gerai Buah-Buahan Segar.
Pembangunan ini semestinya akan memberi manfaat kepada rakyat Telupid dan sekaligus membangunkan kawasan pertanian Telupid supaya rantaian pemasaran makanan di negeri Sabah terus diperkasa. Kerjasama kukuh antara Persekutuan dan Negeri ini dapat memastikan agenda pembangunan kerajaan diteruskan, sekaligus menjamin sekuriti makanan negara.
Terdahulu, Ronald turut menyampaikan bantuan Kit MAFI Prihatin kepada 500 orang penerima dan menyerahkan peralatan usahawan Ladang Kontrak serta bantuan peralatan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Ronald juga turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara usahawan dan FAMA bagi pemasaran buah Pamelo serta MoU antara pengeksport dan FAMA bagi pemasaran Pisang.
Turut hadir, YB Jonnybone J Kurum, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, YBhg. Dato ’Zainal Abidin Bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA dan En. Ribin Bin Wahid, Pengarah FAMA Negeri Sabah.