Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa itu Projek Mimpi? Seiringan dengan tahun baharu 2024 yang akan menjelang tidak lama lagi, Projek Mimpi merupakan projek khas anjuran editorial Sirap Limau yang bertujuan untuk menjadi platform anda berkongsi cita-cita, impian dan keinginan yang belum tercapai.
Tawar wang tunai RM5,000
Kempen yang sedang berlangsung daripada 15 November 2023 sehingga 15 Januari 2024 ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000 untuk seorang pemenang yang akan dipilih menerusi 3 fasa pertandingan.
Menurut Ketua Kandungan Rangkaian Bahasa Melayu REV Media Group, Noraniza Azmi, tahun baharu harus dimulakan dengan perkara positif yang sekaligus bakal memberi semangat untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang.
Oleh itu, kami ingin memulakan tahun 2024 ini dengan mengumpulkan azam dan cita-cita rakyat Malaysia menerusi Projek Mimpi. Perkongsian ini juga sekali gus diharap dapat memberi dorongan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai dengan usaha yang tekad dan berterusan.
Ujar Pengurus Kempen Projek Mimpi, Nurul Halifah Hamiruddin menyifatkan kempen ini juga sebagai satu tanggungjawab sosial dengan membantu mereka yang memerlukan, tanpa mengira status, darjat mahupun pangkat.
Fokus kami adalah untuk memperkasakan aspirasi dan hasrat setiap individu tidak kira impian berbentuk peribadi mahupun membantu orang lain bagi menaikkan semangat mereka.
Selain itu, ini adalah satu usaha juga untuk memenuhi impian orang ramai yang mungkin kurang berkemampuan dari segi kewangan dan sebagainya.
Penerbit Video Sirap Limau, Rusul Ismail turut berkata, pihak editorial akan membawakan kandungan berkaitan Projek Mimpi menerusi artikel dan video di platform seperti Tiktok, Facebook dan Instagram.
Ini adalah wadah berkesan untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa banyak impian dan keinginan individu yang tidak didendangkan. Sekali gus, kami ingin menarik orang ramai untuk tahu bahawa Sirap Limau membawakan konsep bacaan kekeluargaan.