Penyanyi, Datuk Aishah mendedahkan dia pernah dimaki dan dicaci depan muka ketika menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan.
Hati perlu kental
Menurut Aishah, 57, seseorang calon memerlukan hati yang kental untuk berdepan dengan pelbagai situasi. Tambah Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin menjadi calon PRU memberikannya pengalaman baharu selain ia membina karakter.
Ketika menjadi calon, pelbagai cabaran ditempuh. Bukan semua orang menyokong kita. Kalau lalu sahaja akan diejek dan macam-macam dicakap depan muka kita. Itu satu perkara yang mengejutkan, apatah lagi yang mengeluarkan kata-kata kesat itu daripada mak cik, pangkat mak kita.
Tapi itulah dalam politik kena kental hati, terima hakikat yang mana bukan semua, ramai tak sokong dan maki. Sebelum menjadi calon pun ketika mula berhijrah, saya tidak bersalaman dengan lelaki bukan mahram. Sampai sekarang ini prinsip saya. Menjadi calon PRU satu pengalaman baik. Bagi saya, ia satu pengalaman membina karakter.
Ujar Aishah lagi, banyak perkara yang dia lalui semasa berkempen.
Menjadi calon yang membuatkan saya sedar, saya ini orang yang macam mana apabila berdepan situasi itu. Pendek kata ia pengalaman mahal. Ia perkara yang hebat apabila menjadi calon. Apatah lagi saya orang baharu ketika itu tetapi dapat melalui pengalaman yang baik.
Sumber: Harian Metro