Seramai 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun bakal menjadi penentu wajah baharu negara apabila dijangka turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Artikel Berkaitan: PRU15: ‘Nak Pemimpin Jujur & Miliki Jiwa Rakyat’ – Amir Masdi
Satu undi penting!
Penyanyi Aina Abdul merupakan salah seorang anak muda yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan keluar mengundi.
Kata Aina, 29, keterujaan untuk ‘buang’ undi buat kali pertama membuatkan dirinya menuntut ilmu dahulu bagi mengelakkan mengikut ‘mulut’ orang.
Saya macam baby dalam pilihan raya kali ini. Saya akan mengundi di Rasah, Negeri Sembilan. Saya sangat gembira, tak sabar nak rasa momen beratur untuk mengundi dan menjadi sebahagiaan dalam peristiwa bersejarah ini.
Saya cuba untuk buat keputusan berdasarkan apa yang saya rasa betul. Apa yang saya baca, untuk mengelakkan diri dari mengikut orang. Satu undi itu kan boleh ubah keadaan negara.
Ditanya sama ada mempunyai busana khas untuk pilihan raya, pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani menjawab tidak ada sambil ketawa.
Eh tak adalah. Itu bukan hari saya. Saya pakai baju biasa saja.
Bantu anak seni bawah label sendiri
Dalam pada itu, pelantun lagu Sumpah ini berharap agar anak seni yang bernaung di bawah syarikat sendiri mendapat sokongan dan bantuan daripada pemimpin agar perjalanan karier menjadi lebih mudah.
Bagi saya kriteria yang semua rakyat inginkan adalah pemimpin yang memikirkan rakyat dahulu sebelum diri sendiri. Rakyat kena nombor satu.
Saya sebagai penyanyi yang berada di bawah label sendiri, Aina Abdul Entertainment, sentiasa mencari peluang dengan individu yang mempunyai ‘kuasa’ untuk bantu perjalanan karier saya.
Saya rasa perkara ini juga valid untuk anak seni yang lain kerana mereka juga bersusah payah di luar sana.
Saya harap pilihan raya kali ini, ada sedikit ruang dan peluang yang lebih banyak kepada anak-anak seni yang mungkin bernaung di bawah syarikat sendiri. Yang masih mencari-cari, harapnya ada tempat untuk kami.
Sekadar info, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini (Sabtu) sebagai hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sumber: Instagram @ainaabdul