berita

PRU15: ‘Pengundi Perlu Bijak Menilai, Pilih Pemimpin Cekap & Berkualiti’ – Johari Ghani

October 26th, 2022 | by Wan
Kini Trending

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menasihatkan pengundi agar bijak menilai dan memilih wakil rakyat ketika keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November depan.

Pilih berdasarkan prestasi

Bekas Menteri Kewangan II itu turut menambah Malaysia memerlukan pemimpin yang cekap dan berkredibiliti untuk mentadbir negara menghadapi pelbagai cabaran kelak.

Justeru, penting untuk pengundi memilih wakil rakyat yang benar-benar menunjukkan prestasi terbaik agar boleh berkhidmat untuk rakyat jika dipilih nanti.

Walaupun kalah pada PRU14, saya terus berkhidmat kepada penduduk. Jadi pada PRU15 akan datang, pengundi perlu menilai prestasi Ahli Parlimen mereka.

Beliau turut menasihatkan penduduk dari golongan B40 supaya memberi perhatian kepada akademik anak-anak kerana hanya pendidikan satu-satunya cara untuk membawa keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan

Titiwangsa dekat di hati

Disebut-sebut bakal dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) di Parlimen Titiwangsa pada PRU15 nanti, Johari menyifatkan Titiwangsa dekat dihatinya kerana beliau dilahirkan dan bersekolah di kawasan itu, sekali gus ingin terus berkhidmat kepada masyarakat setempat, termasuk isu pembangunan semula Kampung Baru.

Banyak kerusi ditawarkan kepada saya tetapi saya masih mahukan Parlimen Titiwangsa.

Sementara itu, Johari yakin BN mampu merampas kembali enam kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang dikuasai pembangkang iaitu Titiwangsa, Batu, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

Dengan calon yang tepat, kita mempunyai lebih 50 peratus peluang untuk menang di kawasan ini. Di sini pusatnya. Jika kita ingin mencetuskan ‘tsunami’, ia harus bermula dari sini.

Jelas Johari lagi, negara memerlukan parti yang meraih kemenangan dengan majoriti kukuh pada PRU15 bagi membentuk Kabinet yang berwibawa untuk menangani pelbagai cabaran dihadapi.

Johari Ghani sebelum ini tewas kepada Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Rina Mohd Harun, pada PRU14 dengan majoriti 4,139 undi.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×