Pemergian Muhammad Adib Mohd Kassim, pada malam tadi mencatatkan satu lagi peristiwa duka buat seluruh rakyat Malaysia. Arwah cedera parah akibat diserang oleh sekumpulan perusuh ketika insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November.
Artikel berkaitan: Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Permaisuri Selangor Berkenan Ucapan Takziah Buat Arwah Adib
Kematian anggota bomba itu juga menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia yang turut bersedih dengan pemergian wira negara berkenaan. Sehingga para artis dan para pemimpin termasuk Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memberi ucapan takziah terhadap waris arwah.
Presiden TERAS turut terasa
Menerusi laporan Berita Harian, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Azmi Hamid, juga tidak terkecuali merasakan kesedihan yang berlaku. Beliau menghasilkan sebuah puisi, didedikasikan khas buat Allahyarham Muhammad Adib.
Puisi buat Arwah Adib
Sama-sama kita renungkan puisi ini.
Maafkan kami, Adib
Adib,
Namamu tak pernah disebut-sebut,
Hanya ayah, ibu, saudara dan tunangmu yang menyambut,
Tiap kali engkau pulang setelah bertugas,
tunangmu mungkin terasa ingin mengikut,
Berjanji satu hari nanti kamu bersamanya akan hidup
sehingga tibanya maut
Adib,
Kamu tidak sesekali menyangka,
Terperangkap dalam sengketa,
Yang kamu tahu hanya menyahut panggilan
untuk bertugas tanpa bertanya,
Apakah tugas biasa ataukah merbahaya
Adib,
Seluruh negara tiba-tiba tersentak mendengar berita,
Engkau bergelut untuk menyelamatkan nyawa,
Rupanya bila manusia hilang timbang rasa,
Engkau pula yang menjadi mangsa
Adib,
Negara ini telah ditatang untuk anak muda seperti kamu,
Agar diwarisi sehingga ke anak cucu,
Yang berlain kaum, agama dan hidup berukun damai, itulah pesan ibu,
Jangan sekali-kali engkau sia-siakan tanah air ini milik bangsamu
Adib,
Air mata kami mengalir mengenangkan derita yang kamu lalui,
Kenapa nyawamu tidak dihargai,
Bukankah kita berjanji hidup bersama di tanah pertiwi ini,
Bumi bertuah tempat lahirmu menjadi saksi,
Adib,
Kamu hanyalah seorang warga yang mahu hidup biasa,
Negara yang makmur ingin dinikmati bersama,
Tidak ada yang harus berprasangka dan mencuriga,
Si Mamat, si Ah Chong, si Ramasami, bukankah rakan kita belaka
Adib,
Engkau dipaksa membayar harga dari sebuah pertelingkahan,
Mereka tidak kisah untuk apa harus berbunuhan,
Peduli apa kepada negara dan warga yang akan berberontakan,
Asal puas mendapat upah yang hanya seratus dua yang memalukan
Adib,
Kami semua bersalah dari sebuah kealpaan,
Saling mencuriga dan tidak mahu bermaafan,
Lalu engkau berada di tengah-tengah persengketaan,
Inilah natijah dari keegoaan yang tidak kenal sempadan
Adib,
Aku terkelu dan sukar mencari kata-kata,
Berita pemergianmu, tidak disangka,
Aku masih mengharap, engkau boleh berbicara,
Mengkisahkan pesan kepada anak cucu kita,
Jangan berulang lagi babak yang meluka,
Negara ini bakal kita wariskan kepada seluruh anak bangsa
Adib,
Damailah kamu di pusara, yang akan tercatat dalam sejarah,
Aku mengharap seluruh warga turut mengambil ibrah,
Bahawa Tuhan berpesan, hiduplah dengan pasrah,
Dalam rasa keinsanan dibina ukhuwah,
Kami berazam tidak akan mengulangi permusuhan yang membawa belah
Sesungguhnya negara ini terlalu mahal dan terlalu indah
untuk dibiar punah.
Azmi Hamid,
1.09 pagi
18 hb Disember 2018
Shah Alam, Selangor
Sumber: Berita Harian