berita

Pukul Guna Tukul Hingga Mati & Makan Hati Mayat, Ini Kisah Pembunuh Bersiri Korea ‘The Raincoat Killer’

October 15th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Filem ‘The Chaser’ arahan Na Hong-jin antara filem yang menarik perhatian dunia terutama penggemar filem thriller dan action. Kalau korang nak tahu, filem tersebut diinspirasikan daripada kisah pembunuh bersiri Yoo Young Chul, yang berasal dari Korea Selatan. 

Buat korang yang ingin mengenali siapa Yoo Young Chul dan kisahnya secara terperinci, apa kata korang baca ni!

Siapa Yoo Young Chul?

Foto: Yoo Young Chul dan peta kawasan pembunuhan

Yoo Young Chul atau lebih dikenali sebagai ‘The Raincoat Killer’ mengaku bahawa dirinya seorang kanibal. Dia diberi gelaran ‘The Raincoat Killer’ kerana sering memakai baju hujan ketika melakukan aktiviti pembunuhan. Bahkan, sewaktu ditangkap, Yoo turut memakai baju hujan yang sama ketika membunuh kesemua mangsanya.

‘Escort girls’ iaitu gadis pengiring dan orang kaya merupakan mangsa utama Yoo. Menurutnya, seseorang wanita tidak boleh menjadi pelacur dan orang kaya seharusnya tahu apa yang mereka lakukan. Tukul merupakan alatan yang digunakan oleh Yoo ketika melakukan pembunuhan. Sepanjang tahun 2003 hingga 2004, hampir 20 orang telah menjadi mangsa kekejamannya.

Kerap ditahan polis

Pada tahun 1992, Yoo mengahwini seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Cik Hwang. Pasangan itu telah dikurniakan seorang anak lelaki. Sepanjang perkahwinan mereka, Yoo telah dijatuhkan hukuman penjara beberapa kali kerana kesalahan mencuri, menjual video pornografi kanak-kanak, membuat aktiviti pemalsuan dan melakukan pencurian identiti. Oleh kerana tidak tahan dengan sikap suaminya, Cik Hwang telah meminta cerai pada tahun 2000. Pada masa tersebut juga, Yoo telah ditahan oleh pihak polis kerana merogol seorang remaja berusia 15 tahun. 

Pada 11 September 2003, Yoo telah dibebaskan dari penjara. Seminggu selepas itu, Yoo kembali aktif melakukan aktiviti mencuri di rumah orang kaya. Yoo telah memecah masuk rumah seorang profesor yang dikenali sebagai Lee Deok Su. Pada waktu tersebut, dia telah menggunakan pisau dan tukul untuk menikam leher mangsa dan isterinya. Sebelum melarikan diri dari kediaman pasangan itu, Yoo telah merancang untuk meninggalkan rumah tersebut dalam keadaan rompakan agar penyiasat tidak dapat mengesannya. Lebih menarik, dia tidak mencuri barang-barang milik pasangan itu.

Tidak lama selepas itu, Yoo masih meneruskan aktiviti jenayahnya. Kali ini, dia telah memecah masuk rumah seorang warga emas yang dikenali sebagai Eun Sun. Lelaki berusia 85 tahun itu, turut meninggal dunia selepas dipukul menggunakan tukul. Bukan itu sahaja, semua ahli keluarganya turut mati dibunuh. Pembunuhan demi pembunuhan dilakukan dengan cara yang sama oleh Yoo sepanjang tempoh tersebut.

Bunuh gadis pengiring

Pihak penyiasat telah melakukan kerja siasatan secara terperinci sepanjang kes penemuan mayat pertama sehingga terbaru. Sedar akan perkara tersebut, Yoo telah mengambil keputusan untuk menghentikan kegiatan pembunuhannya itu. Kemudian, Yoo bertemu dan berkenalan dengan seorang gadis pengiring. Sepanjang proses perkenalan tersebut mereka sangat bahagia. Namun, kebahagian itu hanyalah seketika kerana gadis pengiring yang dikenalinya itu telah menemui rekod jenayah miliknya. Berang dengan perpisahan tersebut, Yoo sekali lagi melakukan aktiviti pembunuhan.

Pada 6 Februari 2004, Yoo telah membunuh seorang gadis pengiring yang dikenali sebagai Jeon Hyo. Cara pembunuhan yang dilakukan masih sama. Selain Jeon Hyo, beberapa orang gadis pengiring turut dibunuh. Beberapa identiti mangsa berjaya dikenal pasti oleh pasukan penyiasat selepas kejadian tersebut. Berikut merupakan nama-nama mangsa yang dibunuh oleh Yoo.

  • Mr Chung (47 tahun)
  • Kwon Jin Hee (23 tahun)
  • Ahn Jae Sun (44 tahun)
  • Kim Hee Sun (25 tahun)
  • Shin Min (33 tahun)
  • Han Sook Ja (35 tahun)
  • Jang Kwang (26 tahun)
  • Kim Ji Ho (27 tahun)
  • Woo Koo Yeon (28 tahun)
  • Kim Mi Young (26 tahun)
  • Go Sun Hee (24 tahun)
  • Im Mi Yeon (27 tahun)

Dua hari selepas kematian Im Mi Yeon, sebuah rumah urut telah membuat laporan kepada pihak polis mengenai kehilangan pekerja mereka. Menurut tuan rumah urut tersebut, pekerjanya sering menerima panggilan telefon daripada seorang individu sebelum tiba-tiba hilang. Hasil siasatan pihak polis berdasarkan nombor telefon, mereka berjaya mengesan Yoo sebagai suspek utama. Setelah dua belas jam melakukan operasi pencarian, pihak polis berjaya menangkap Yoo.

Mengaku makan hati mangsa

Pada 15 Julai 2004, Yoo dibawa ke penjara tahanan. Pihak polis juga telah menemui bukti yang kukuh semasa membuat pemeriksaan di rumahnya. Mereka telah menjumpai beberapa filem iaitu bukti utama pembunuhan yang dilakukan oleh Yoo. Antara filem yang dijumpai oleh pihak polis ialah Public Enemy, Very Bad Things dan Normal Life. Penemuan filem tersebut juga telah membawa polis ke jalan kebenaran apabila pembunuh bersiri Jeon Du Yeong merupakan idola Yoo dalam melakukan kegiatan jenayah. Buat pengetahuan korang, Jeon Du Yeong telah membunuh sembilan orang kaya di sekitar kawasan Busan.

Yoo juga membuat pengakuan bahawa dia telah makan kesemua hati milik mangsanya selepas melakukan pembunuhan. Pada 6 September 2004, Yoo telah dibawa ke mahkamah dan dia diminta untuk membuat permohonan maaf kepada semua ahli keluarga mangsa. Yoo juga menyatakan dia tidak mempunyai niat sewaktu melakukan kesemua pembunuhan tersebut.

Pada 13 Disember 2004, kes Yoo hangat diperdebatkan di mahkamah. Disebabkan kesalahan yang dilakukanya amatlah berat, pihak mahkamah telah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap Yoo. Namun begitu, hukuman tersebut tidak dapat dilaksanakan di Korea Selatan sejak tahun 1997. Justeru itu, Yoo terpaksa berada di dalam penjara sehingga pelaksanaan hukuman tersebut dijalankan.

Sumber: Grave Reviews

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×