Semalam, viral di media sosial mengenai kisah seorang wanita yang meminta pertolongan pengguna jalan raya untuk mencari rakaman dashcam kemalangan yang berlaku semalam, di Highway Plus ke Arah Selatan (Sungkai). Berikutan daripada itu, pihak polis berjaya mengesan pemandu kereta jenis BMW 330E yang dicari oleh wanita tersebut.
Artikel berkaitan: Bayi 4 Bulan Tercampak Ke Tengah Jalan, Wanita Mohon Pertolongan Pengguna Jalan Raya Cari Rakaman ‘Dashcam’ Kemalangan Di Highway Plus Arah Selatan
Terbaru, pihak polis telah mengambil keterangan terhadap pemandu berkenaan.
Telah buat laporan polis
Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir, pemandu lelaki berusia 30 tahun itu telah membuat laporan polis berkaitan kemalangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, petang, semalam. Ujarnya lagi, lelaki itu juga telah tampil ke IPD Muallim pada pukul 10 malam untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian itu, pemandu BMW berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan melainkan kerosakkan pada kenderaan iaitu calar pada bahagian sisi belakang kanan dan rim tayar bahagian belakang sebelah kanan. Punca kemalangan adalah disebabkan mengubah haluan di mana kereta BMW yang sebelum itu berada di lorong tengah secara tiba-tiba masuk ke lorong kanan di hadapan laluan Proton Inspira.
Tambah Hasni, ketika kejadian, pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun itu cuba mengelak dari melanggar kereta suspek namun kenderaan itu hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kanan BMW.
Sumber: Kosmo