berita

Pusingan Kedua Toyota GAZOO Racing Labuhkan Tirai. Kali Ini Giliran Nabil Ahmad Juarai Perlumbaan!

July 1st, 2022 | by Emir
Kini Trending

Kredit foto: HM & NSTP

Perlumbaan kedua musim kelima Festival Toyota GAZOO Racing (TGR) 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru sahaja melabuhkan tirainya pada 25 dan 26 Jun yang lalu. 

Tidak seperti dua tahun sebelumnya, para peminat sukan permotoran ini kini dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan ini secara langsung di litar Sepang. 

Selain dari menonton secara terus perlawanan pelumba kegemaran mereka, para peserta juga turut disajikan dengan persembahan dari penyanyi terkenal juga!

Nak tahu apa lagi yang menarik sepanjang  dua hari perlumbaan ni berlangsung? Jom kami kongsikan!

3 Perlumbaan Untuk Kekal Juara Keseluruhan

Kredit foto: HM & NSTP

Hari pertama perlumbaan menyaksikan pelumba-pelumba dari kelas Super Sporting yang bersaing sengit bagi menduduki tempat teratas. 

Insiden yang melibatkan pelumba Eddie Lew dari Laser Motor Racing dan Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dari Prima Pearl TD Racing Team pada pusingan pertama perlumbaan dengan cepat menyingkirkan keduanya daripada kedudukan tiga teratas.

Hal ini menyebabkan pelumba dari Prima Pearl TD Racing Team, Mitchell Cheah berjaya merangkul kemenangan dari petak pertama apabila menamatkan perlumbaan hanya 2.1 saat di hadapan Mark Darwin dari Laser Motor Racing dan Freddie Ang dari Telagamas Toyota yang berada di kedudukan ketiga.

Hari kedua perlumbaan pula menyaksikan Tengku Djan mencatat masa terpantas pada hampir setiap pusingan perlumbaan untuk naik dari kedudukan ke-12 di grid permulaan sekaligus memenangi perlumbaan dengan jarak masa hanya 1.5 saat di hadapan Darwin manakala pelumba Axle Motorsport’s Hayden Haikal di kedudukan ketiga.

Tengku Djan hanya mempunyai 3 perlumbaan lagi pada musim ini bagi mempertahankan gelaran juara keseluruhan bagi kelas Super Sporting.

 

Kejutan Abdul Miqail

Kredit foto: HM & NSTP

Insiden yang membabitkan tiga buah kereta pada hari pertama perlumbaan kelas Sporting menyebabkan perlumbaan terpaksa dihentikan selama 15 minit. 

Walau bagaimanapun keputusan perlumbaan hari pertama kekal sama menyaksikan Naquib Azlan dari Axle Motorsports yang meraih kemenangan dengan hanya 2.3 saat di hadapan Tom Goh dari S&D Tama Motorsports.

Abdul Miqail dari 23 Motor pula meraih tempat ketiga apabila berjaya memintas pelumba Crestmax Motorsport, Bradley Benedict Anthony pada pusingan terakhir.

Naquib Azlan sekali lagi menunjukkan prestasi cemerlang apabila menamatkan perlumbaan dengan dua kemenangan pada hari kedua perlumbaan. 

Menduduki tempat kedua dan menjadi kejutan terbesar pada perlumbaan hujung minggu tersebut ialah Abdul Miqail yang turut menaiki podium dua kali dalam kedua-dua perlumbaan, diikuti oleh Ahmad Tarmimi Tahang dari Pasukan Projek M7 Jepun.

Hamdany Rangkul Kemenangan Pertama

Pemandu muda Kelas Rookie, Nabil Azlan merangkul kemenangan kedua dalam perlumbaan musim ini, diikuti rapat oleh Muizz Musyaffa di kedudukan kedua, dan Muhammad Hamdany menduduki tiga teratas pada hari pertama perlumbaan.

Ini merupakan kunjungan kedua dan ketiga Muizz dan Hamdany ke podium masing-masing.

Hari kedua menyaksikan pelumba Hamdany merangkul kemenangan pertamanya dalam perlumbaan bagi mengekalkan rekod terbaiknya iaitu empat podium dalam empat perlumbaan setakat ini.

Pelumba berusia 19 tahun dari Kuching, Sarawak itu menamatkan saingan di hadapan pelumba simulator Nabil Azlan, dan satu-satunya pemandu wanita dalam siri Vios Challenge, Adele Lew yang menduduki tempat ketiga.

 

Giliran Nabil Jadi Juara

Kredit foto: HM & NSTP

Zizan Razak mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya menamatkan perlumbaan dengan kemenangan besar apabila meninggalkan Nabil Ahmad 12 saat dibelakangnya dan diikuti Ahirine Ahirudin di tempat ketiga pada perlumbaan pertama kelas Promotional.

Menjadi tumpuan pada hari kedua, Zizan dilihat mendahului pelumba lain pada awal perlumbaan namun berlaku isu teknikal yang memaksa dia melepaskan lima tempat dengan tiga pusingan untuk menamatkannya.

Shukri Yahya menjadi orang pertama yang mengambil kesempatan daripada nasib malang Zizan namun turut mengalami nasib serupa menyebabkan Nabil mendahului perlumbaan. 

Dengan berbaki dua pusingan, penyanyi Wany Hasrita dan pelakon Janna Nick melepasi pasangan Zizan dan Shukri untuk masing-masing merangkul kedudukan kedua dan ketiga.

Kredit foto: HM & NSTP

Penonton yang hadir juga turut disajikan dengan persembahan khas daripada artis popular seperti Judika, Bunkface dan barisan selebriti TGR sendiri seperti Nabila Razali, Wany Hasrita dan Khai Bahar.

Jika anda terlepas atau anda ingin menonton semula perlumbaan-perlumbaan ini, anda boleh strim di laman web rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia.

Pusingan ketiga Festival Toyota GAZOO Racing dan Vios Challenge dijadualkan pada September nanti. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman sesawang UMW Toyota Motor (Malaysia) Sdn Bhd.

 

SKIP THIS AD ×