Queen of Soul Azharina Azhar dan Ayu Damit antara artis kelahiran Sabah yang bakal memeriahkan Konsert A Night With Sumandak Stars.
Artikel Berkaitan: Tujuh Penyanyi Kelahiran Sabah Dihimpukan Dalam Sebuah Konsert Istimewa ‘A Night With Sumandak Stars’ 30 November Ini!
Artikel Berkaitan: ‘Awalnya Diberi Nama Bella And Friends..Poster Antara Syarat Yang Saya Letakkan’ – Stacy Dedah Punca Tarik Diri Dari Konsert Sumandak Stars
Kena sokong antara satu sama lain
Menerusi temu bual bersama Azharina, penyanyi berusia 39 tahun itu berkata, pada awalnya dia menerima jemputan untuk menjadi salah seorang penyanyi di konsert tersebut. Namun, dia terpaksa menolak jemputan tersebut kerana bayaran yang hendak diberikan oleh pihak penganjur tidak setimpal dengan pencapaian yang dimiliki olehnya sepanjang 23 tahun berada di dalam industri seni.
Kalau nak diikutkan dalam senarai awal, saya yang paling kakak di antara mereka semua. Saya rasa sangat gembira apabila dengar konsert seperti ini bakal diadakan. Kami penyanyi dari Sabah dapat berkumpul dan menghiburkan para peminat. Namun begitu, saya terpaksa menolak tawaran yang diberikan dek kerana bayaran yang saya minta tidak mampu mereka tunaikan.
Kami selesai cara baik dan tiada sebarang konflik di antara pihak penganjur dengan saya. Peminat saya Azharina Angels sangat teruja nak beli tiket pada waktu itu sehingga ada yang sedih kerana saya tak sertai konsert ini.
Silap saya juga tidak memaklumkan kepada peminat yang saya terpaksa tolak tawaran itu. Mereka ingatkan saya memang akan ikut serta di acara itu. Apapun, saya beritahu mereka untuk sokong saja yang lain kerana memang tidak akan rugi. Saya harapkan konsert itu bakal cetuskan fenomena sendiri.
Tambah Azharina, selepas beberapa hari sidang media konsert tersebut berlangsung, dia mendapat panggilan untuk menyertai konsert itu semula. Kali ini, pelantun suara ‘Rawan’ ini memberitahu, pihak penganjur bersetuju untuk memberi bayaran yang sepatutnya. Bahkan, mereka sanggup memujuknya berkali-kali. Oleh sebab cinta akan negeri kelahiran, kerjaya seni dan peminat juga, Azharina menerima tawaran tersebut.
Dunia seni kecil, kalau kita tak sokong antara satu sama lain siapa lagi nak sokong? Saya sayang semua. Bila lagi anak-anak Sabah nak berkumpul dan berkongsi satu pentas seperti ini. Saya harap semua orang beli tiket dan tonton konsert ini. Pasti kami akan memberikan yang terbaik.
Setiap artis ada aura dan bakat
Menurut Ayu Damit pula, dia menyertai konsert ini selepas mendapat permintaan daripada pihak penganjur. Di samping itu, semua artis yang terlibat merupakan rakan-rakanya sendiri.
Konsert ni saya rasa sangat bagus sebab pihak penganjur nak kumpulkan penyanyi yang berbakat dan telah lama menempa nama dalam industri muzik untuk meraikan kepada semua peminat-peminat yang inginkan hiburan berskala besar secara live.
Barisan artis yang sertai konsert ini semua mempunyai aura dan bakat yang tersendiri di atas pentas. Semua suara power! Saya harap dapat melakukan persembahan yang terbaik bersama mereka nanti.
Diminta untuk mengulas mengenai perbalahan yang sedang berlaku di antara kelab peminat berhubung pemilihan artis konsert ini, Ayu berharap mereka semua dapat berlapang dada dan berfikiran positif.
Masing-masing ada pendapat atau pandangan masing-masing. Mereka mungkin tak tahu kisah sebenar di sebalik apa yang berlaku di belakang tabir. Jadi saya harap semua kelab peminat berlapang dada dan berikan pandangan yang positif kepada artis supaya tidak timbul ketegangan antara peminat masing-masing.
Selain Azharina dan Ayu Damit, Marsha, Adira, Nikki Palikat, Wany Kayrie, Bella Astillah dan Didi Astillah akan turut serta memeriahkan konsert tersebut di Zepp Kuala Lumpur, 30 November depan.
Terdahulu, Stacy atau nama lengkapnya Ummu Shaikhah Stacy Anam menjelaskan dia menarik diri daripada konsert tersebut kerana ada syarat yang tidak dipatuhi oleh pihak penganjur.