Sejak diterbitkan pada tahun 1957, Berita Harian (BH) antara pilihan utama masyarakat pelbagai peringkat bagi mendapatkan kandungan berita, maklumat dan ilmu. Edisi pertama yang dilancarkan pada 1 Julai 1957, membantu memenuhi keperluan ketika era nasionalisme dan pengisian kemerdekàan, seterusnya memainkan peranan dalam pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Wadah pembaharuan dalam negara
Berita Harian yang meraikan ulang tahun ke-65, berazam untuk menjadi wadah pembaharuan dalam negara mengharungi cabaran di peringkat lokal dan global yang melanda dunia sekarang. Ia termasuk krisis ekonomi global dan perubahan iklim yang turut memberi impak kepada negara. Kemelut yang melanda negara mutakhir ini juga perlu diberi perhatian dan BH mahu memainkan peranan media dalam proses mengembalikan kegemilangan negara.
Menurut Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Berita Harian berhasrat untuk terus berperanan membantu pembinaan negara bangsa sebagai instrumen semak dan imbang dalam mendukung demokrasi yang sihat, berasaskan perlembagaan dan prinsip Rukun Negara. Bagi tujuan itu, Berita Harian mahu kekal sebagai media rujukan massa dengan polisi bebas dan berkecuali dengan liputan dan laporan berimbang, adil dan tepat.
Polisi yang diperkenalkan oleh bekas Pengarang Kumpulan, Khaidir A Majid diperkemaskan bagi mengukuhkan kedudukan BH sebagai media pilihan pembaca. Bagi memastikan akhbar versi cetak terus relevan, manakala platform digital diperkukuhkan, kandungan BH akan terus diperbaharui sesuai dengan perubahan pantas industri media digital. Selama 65 tahun, BH telah menyalurkan berita, maklumat dan ilmu membantu pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat. Kini, kandungan BH didatangkan dalam pelbagai platform digital dan media sosial sesuai dengan peredaran zaman.
Laporan tepat dan sahih
Jika sebelum ini Berita Harian hanya dalam bentuk cetak kini, ianya telah berkembang ke platform digital serta atas talian yang memungkinkan penggunaan kandungan video sebagai wadah berita, maklumat dan ilmu sebagai medium untuk dikongsikan dengan pelbagai pihak. Persaingan di platform digital pula memerlukan kita mempelbagaikan kandungan dan kaedah persembahannya supaya tidak ketinggalan dan meletakkannya sebagai antara penyumbang pendapatan kepada The New Straits Times Press (NSTP) dan kumpulan Media Prima Berhad (MPB), konglomerat media dan hiburan terbesar di Malaysia.
Namun ia perlu diperkasakan, selain mempelbagaikan kandungan.
Sementara itu, BH berjaya mengekalkan posisi teratas dalam senarai laman web berita Bahasa Melayu paling popular oleh Reuters Institute and University of Oxford bagi tahun lalu. Dalam era digital dan globalisasi kini, maklumat atau berita palsu yang semakin berleluasa pula boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan menjejaskan keselamatan serta mengancam keamanan. Namun, dengan laporan tepat dan sahih telah menjadikan BH sebagai sumber rujukan masyarakat bagi mengetahui kesahihan sesuatu berita dan maklumat.
BH juga menyelami permasalahan yang dihadapi rakyat dengan pelbagai program tanggungjawab sosial. Antaranya, program Semarak Ramadan BH dan Suara Komuniti yang dilaksanakan secara kolabrasi dengan rakan korporat dan jabatan serta agensi kerajaan, telah berjaya membantu sebahagian masyarakat yang memerlukan bantuan.
Ini adalah antara asas-asas penting bagi BH yang telah dimulakan oleh Pengarang Kumpulan BH sejak 65 tahun lalu. Kami berazam untuk mengekalkannya demi kemakmuran dan kesejahteraan generasi akan datang.
Antara nama-nama besar yang pernah menjadi Pengarang Kumpulan BH sepanjang sejarahnya, termasuk Abdul Samad Ismail, Salim Kajai, Adibah Amin, Ahmad Nazri Abdullah, Ahmad Rejal Arbee dan ramai lagi.