berita

Raja Permaisuri Agong Gesa Genjatan Senjata, Buka Koridor Bantuan Tetap Ke Gaza

November 16th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Raja Permaisuri Agong Isu Palestin

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menggesa pemimpin dunia mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera dalam konflik Gaza-Israel dan membuka koridor bantuan kemanusiaan secara kekal ke Semenanjung Gaza.

Artikel Berkaitan: Rakyat Palestin Kecewa Dengan Hasil Sidang Kemuncak Arab-Islam, Mahukan Penyelesaian Lebih Praktikal

Tiada manusia harus menderita

Raja Permaisuri Agong Isu Palestin

Raja Permaisuri Agong bertitah tindakan pemimpin dunia perlu dalam menyokong usaha yang diselaraskan oleh organisasi kemanusiaan untuk menghantar bekalan penting dan membantu kumpulan tempatan di lapangan dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan, selain menyelamatkan maruah rakyat yang sedang menderita.

Kita tidak boleh membiarkan pengeboman berterusan. Kita mesti secara kolektif menyeru agar permusuhan dihentikan segera.

Saya berdiri di sini, untuk menyertai gesaan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera dan saya merayu kepada pemimpin dunia untuk memberi tekanan ke arah usaha menamatkan kegilaan ini.

Saya berdiri di sini bukan sahaja sebagai seorang Raja Permaisuri Agong tetapi sebagai seorang ibu, bersama anak anak saya yang amat saya sayangi.

Saya berdiri di sini sebagai seorang manusia dan kita mesti bersuara dan berkata ‘Berhenti, dan cukup-cukuplah!’

Saya berang dengan pencabulan hak asasi manusia yang serius ini, saya tidak boleh berdiam diri lagi. Saya bimbang untuk rakyat Gaza, demi keselamatan kanak-kanak, saya bimbang atas dasar kemanusiaan kita.

Teks ucapan baginda telah dihantar kepada Bernama.

Sidang kemuncak itu disertai oleh pasangan pemimpin dari pelbagai negara dan dihoskan oleh Wanita Pertama Turki, Emine Erdogan.

Tunku Azizah bertitah sejak konflik semakin meruncing, beratus-ratus ribu rakyat telah menggesa kerajaan mereka untuk menyokong usaha ke arah gencatan senjata dan para pemimpin harus mendengar suara tuntutan rakyat mereka.

Mereka ini dari semua lapisan masyarakat, mengamalkan agama yang berbeza, dan bercakap bahasa yang berbeza tetapi mereka bercakap dalam satu suara – untuk menyeru kepada keamanan, untuk hidup dalam harmoni dan menghormati antara satu sama lain.

Tunku Azizah bertitah tiada manusia harus hidup menderita, atau berada dalam ketakutan yang berterusan dan bimbang akan nyawa mereka dengan beribu-ribu mangsa pengeboman masih tersepit di bawah runtuhan bangunan.

Baginda turut melahirkan rasa sedih terhadap keadaan yang melanda Gaza kerana lebih 10,000 nyawa rakyatnya terkorban dalam tempoh sebulan dengan hampir separuh daripada mangsa adalah kanak-kanak, akibat kekejaman Israel terhadap Palestin.

Mereka telah dinafikan dan disekat daripada menjalani kehidupan kanak-kanak dan keluarga yang normal. Ini sememangnya satu pencabulan secara serius terhadap hak asasi manusia, hak untuk menikmati kehidupan normal dan sempurna.

Baginda bertitah ingatan penting yang tidak boleh dilupakan sebagai seorang bergelar insan ialah, kesakitan dan penderitaan yang sedang dilalui dunia, justeru sebagai manusia, masyarakat dunia tidak boleh berhenti mendesak agar semua permusuhan dihentikan.

Setiap negara yang menghadapi peperangan, kesusahan, dan konflik sekarang ini berhak untuk hidup dengan aman, saya dengan rendah hat bercakap mewakili setiap daripada mereka dan sebagai seorang Muslim, saya ingin mengingatkan anda bahawa menjadi kewajipan kita sebagai manusia untuk menuntut agar pengakhiran kepada semua permusuhan, sebagaimana kerap dingatkan bahawa, ‘perang membawa kesakitan, bukan keuntungan’, jadi marilah kita pilih keamanan demi hidup makmur.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama Pasangan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan serta wakil negara pada sidang kemuncak itu dengan tegas menyuarakan bahawa mereka menolak sebarang percubaan untuk memindahkan penduduk awam Palestin dari tanah air mereka.

Menurut kenyataan itu, semua pihak wajib bertindak mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, serta melihat kesan yang besar akibat perpindahan semasa konflik terhadap wanita, kanak-kanak dan warga tua.

Pasangan Ketua Negara dan Kerajaan serta wakil negara turut menggesa seluruh dunia bertindak segera dan secara kolektif untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza.

Kami menyeru agar serangan Israel dihentikan serta-merta yang menyasarkan semua penempatan awam di Gaza, termasuk sekolah, hospital dan kemudahan perubatan lain, kem pelarian, kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tempat ibadat.

Dalam hal ini, gencatan senjata segera yang akan menamatkan permusuhan dan pemberian bantuan kemanusiaan tapa halangan, mencukupi dan selamat kepada orang awam di Gaza adalah amat diperlukan.

Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tapa henti ke atas Semenanjung Gaza dan sehingga kini telah mengorbankan lebih 11,000 nyawa rakyat Palestin, termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak dengan lebih 29,000 lagi cedera.

Sumber: Bernama

SKIP THIS AD ×