berita

Rakyat ‘Berpesta’ Di Istana Negara, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Situasi Di Sri Lanka

July 12th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Ribuan penunjuk perasaan di Sri Lanka telah berkampung dan bertegas bahawa mereka tidak akan berganjak dari kediaman Presiden dan Perdana Menteri itu sejak Ahad, sehingga kedua-dua pemimpin berkenaan meletak jawatan secara rasmi.

Namun, apakah punca yang telah mencetuskan protes besar-besaran yang berkait dengan kos sara hidup, dan krisis ekonomi di Sri Lanka itu?

Situasi kini di Sri Lanka

Foto: AP Photo (Rafiq Maqbool)

Kos sara hidup di negara itu kini telah meningkat dengan mendadak selepas harga barangan asas harian telah meningkat, dan inflasi negara itu kini berada di kadar 50%.

Selain itu, negara tersebut juga mengalami pemotongan bekalan tenaga elektrik, dan kekurangan bekalan ubat yang telah melumpuhkan sistem kesihatan negara itu.

Foto: BBC

Bukan itu sahaja, Sri Lanka juga kini mengalami kekurangan bekalan minyak untuk kegunaan perkhidmatan penting seperti bus, kereta api dan kenderaan kecemasan seperti ambulans, seterusnya memaksa mereka untuk menghentikan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan.

Menurut kenyataan pegawai rasmi negara itu, mereka kini tidak mempunyai matawang asing yang mencukupi untuk mengimport masuk bekalan yang lebih banyak.

Kekurangan bekalan minyak di negara itu telah menyebabkan harga minyak naik ke paras yang tidak mampu milik iaitu RM6.73 seliter untuk RON95. Untuk perbandingan, harga RON95 di Malaysia kini adalah RM2.07 seliter.

Susulan itu, Sri Lanka juga telah menghadkan pembelian bahan bakar itu hanya kepada kenderaan perkhidmatan penting, menjadikan negara itu negara yang pertama mengenakan peraturan tersebut sejak 1970.

Punca krisis ekonomi Sri Lanka

Foto: skynews

Sri Lanka telah berada dalam keadaan kekurangan matawang selama berbulan-bulan dan tidak mampu untuk membuat bayaran import bagi barangan asas termasuk makanan dan minyak.

Kerajaan mereka telah mendakwa bahawa kekurangan yang berlaku itu berpunca daripada pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan kekurangan kemasukan pelancong asing iaitu pemacu utama ekonomi Sri Lanka.

Namun, pakar politik dan ekonomi mempunyai pendapat yang berbeza bahawa kejadian tersebut berlaku berpunca daripada korupsi politik, dan salah urus pentadbiran ekonomi.

Pada tahun 2019, Presiden Rajapaksa telah dicemuh selepas memperkenalkan pengecualian cukai yang besar, membebankan negara itu dengan perbelanjaan sebanyak 1.4 bilion USD setahun.

Kerajaan bimbingannya juga telah melarang penggunaan baja bahan kimia sejak tahun lepas bagi menggalakkan tanaman yang lebih organik, mengejutkan ramai petani, dan menyebabkan kegagalan tanaman berskala besar, memaksa kerajaan untuk mengimport bahan asas dan memburukkan lagi pertukaran matawang asing mereka.

Apakah masa depan Sri Lanka?

Foto: CBS News

Menurut laporan, Presiden Rajapaksa telahpun bersetuju untuk meletakkan jawatan secara rasmi, dan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe juga berkata akan mengambil langkah yang sama, namun tidak dinyatakan tarikh rasmi.

Negara itu kini dalam perbincangan dengan International Monetary Fund (IMF) bagi melangsaikan 3 bilion USD daripada 51 bilion USD hutang antarabangsa.

Perdana Menteri Wickremesinghe berkata kerajaan mereka kini kekurangan dana bagi mencetak wang untuk membayar gaji pekerja, dan telah memberi amaran akan kenaikan lagi harga barangan asas.

Sri Lankan Airlines juga mungkin diswastakan dan negara itu akan memohon Russia dan Qatar untuk mengedarkan minyak dengan harga lebih murah kepada negara itu bagi membantu menurunkan harga petrol.

Sumber: BBC, CBS News

SKIP THIS AD ×