Satu situasi yang mendebarkan buat sekumpulan rakyat Malaysia apabila percutian yang sepatutnya menggembirakan bertukar duka selepas mereka terkandas di daerah Labuan Bajo, Indonesia akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur.
Artikel Berkaitan: Terkandas Di Kawasan Tanah Runtuh, Fizo Omar Sedih Tak Boleh Bantu Warga Emas & Bayi – ‘Ramai Terpaksa Keluar Dari Kereta Cari Tempat Selamat’
Kronologi kejadian
Ketika dihubungi OhBulan!, Hafizi Idrus yang merupakan Ketua Bahagian Sosial Media Rangkaian Melayu di Rev Media Group memaklumkan dia bersama rakan-rakan yang terdiri daripada 10 dewasa dan tiga kanak-kanak tiba di Labuan Bajo pada 5 November dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada Sabtu lalu (9 November).
Pada awalnya, penerbangan kami pulang ke Malaysia pada 9 November terpaksa ditunda dari jam 2 petang kepada jam 4 petang.
Tetapi selepas itu, penerbangan ditunda lagi dari pukul 4 petang kepada pukul 5 petang. Jadi kami berasa pelik kenapa dibatalkan pula kan?
Beberapa ketika kami dapat e-mail daripada syarikat penerbangan mengatakan ‘flight’ kami dibatalkan.
Kami berasa cuak, terus buat ‘research’ dan mendapati bahawa Gunung Lewotobi telah meletus.
Abu gunung berapi itu terlalu tebal dan bahaya untuk meneruskan penerbangan.
‘Flight’ ditunda buat kali kedua
Berkongsi dengan lebih lanjut, pemuda berusia 30 tahun memaklumkan mereka kemudiannya mencari tarikh lain untuk pulang ke Malaysia dan sepatutnya pulang pada Selasa (12 November).
Kami pun cari ‘reschedule flight’ yang berjadual pada Selasa (12 November) tetapi tak sampai Selasa pun lagi kami dah dapat e-mail mengatakan penerbangan kami ke Malaysia sekali lagi dibatalkan sebab gunung berapi meletus buat kali kedua.
Penerbangan pulang bertarikh 14 November pula sudah penuh dan penerbangan paling awal selepas itu adalah pada 16 November (Sabtu).
Kami juga tak pasti adakah kami dapat keluar sementara menunggu tarikh 16 hari bulan kerana gunung berapi tersebut masih lagi aktif dan mungkin boleh membuatkan kami terkandas selama satu bulan di sini.
Buntu dengan kejadian itu, Hafizi dan rakannya nekad untuk bertanyakan kepada warga tempatan dan hasilnya, mereka disarankan untuk menaiki feri menuju ke Surabaya yang akan mengambil masa kurang lebih 33 jam.
Jadi kami perlu lakukan sesuatu dan bertanyakan isu kepada warga tempatan.
Jalan yang terbaik adalah dengan menaiki feri menuju ke Surabaya yang akan mengambil masa dalam 31 ke 33 jam dan mungkin akan cari tiket penerbangan dari daerah sana untuk pulang ke Malaysia.
Kalau kami tunggu saja di sini, tak akan ada harapan untuk kami pulang dalam waktu terdekat.
Kos perbelanjaan tambahan lebih RM2k
Ketika ditanya mengenai kos perbelanjaan yang perlu ditambah, anak jati Kuala Lumpur memaklumkan dirinya sudah berhabis lebih RM2,000 sepanjang terkandas sejak 9 November.
Kos tambahan yang perlu ditampung sepanjang kami terkandas di sini bermula 9 November lalu cecah hampir RM1,000. Bila ramai yang terkandas, permintaan untuk menginap di sini menjadi tinggi dan harga hotel terus meningkat naik.
Untuk perbelanjaan seperti makan dan sebagainya juga mencecah RM1,000. Itu buat yang bujang seperti saya tetapi buat rakan saya yang bersama isteri dan anak-anak mereka mencecah lebih RM10,000 untuk penginapan dan perbelanjaan.
Manakala perbelanjaan untuk kami menaiki feri dari Labuan Bajo ke Surabaya adalah berjumlah RM131 seorang.
Risau dan ‘anxiety’
Berkongsi mengenai perasaan, Hafizi memaklumkan dirinya dan rakan yang lain berasa risau dengan keadaan di sana dan mula memikirkan ahli keluarga di Malaysia.
Kami sebenarnya berada jauh dari letusan gunung berapa itu tetapi tetap berasa risau dan ‘anxiety’ sebab tak jangka perkara ini akan terjadi.
Bagi rakan-rakan saya yang berkeluarga pula mereka dah mula risau fasal keluarga di Malaysia dan kejadian ini sangat membimbangkan.
Di akhir perkongsian, Hafizi sempat menitipkan pesan buat mereka yang berkeinginan untuk melancong ke negara yang mempunyai kebarangkalian berlakunya bencana alam.
Buat korang yang nak datang melancong di kawasan yang mempunyai kebarangkalian untuk berlakunya bencana alam, saya sarankan ambil insurans yang ‘cover’ sekali bencana alam sewaktu bercuti.
Kalau tak ambil dan berlaku perkara seperti ini, korang perlu tanggung semua perbelanjaan sepanjang terkandas.