Orang Malaysia selalu dikaitkan dengan budaya malas membaca. Yang lagi sedih, statistik menunjukkan Malaysia tak termasuk dalam senarai NOP World Culture Score Index atau lebih tepatnya budaya membaca di Malaysia tidak melebihi 3 jam seminggu! Secara puratanya rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun.
Negara kita memang banyak sangat ketinggalan! Sebab itulah demi memastikan hala tuju pendidikan negara mempunyai garis ukur yang jelas, Kementerian Pendidikan mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030!
Apa itu Dekad Membaca Kebangsaan?
Memandangkan statistik membaca di Malaysia ni berada di tahap yang membimbangkan, pada 13 Februari 2019, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju melaksanakan Dekad Membaca Kebangsaan dan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030
Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik, kerajaan juga menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang tahun 2020 berbanding 19,713 judul tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, untuk memastikan Dekad Membaca Kebangsaan mencapai keberhasilan yang dihasratkan, bermula tahun ini hingga 2020, pihak kementerian akan menjalankan pelbagai usaha dengan lebih giat lagi!
Ini antara usaha kerajaan dalam melaksanakan Dekad Membaca Kebangsaan..
Antara usaha yang dijalankan adalah:
- Kepelbagaian program membaca
- Pembangunan prasarana dan aktiviti membaca
- Pesta Buku sebagai Destinasi Perbukuan Masyarakat
- Pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak
- Capaian buku digital/e-buku
- Pendidikan sepanjang hayat
Macam menarik kan semua pendekatan yang dilaksanakan ni? Dengan idea baharu yang lebih segar ini, barulah masyarakat akan lebih tertarik dan menjadikan membaca sebagai satu budaya baru!
Selain itu, untuk melaksanakan kempen ini, Kementerian Pendidikan menyasarkan beberapa kelompok sasaran iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar IPTA/IPTS, masyarakat umum, penjawat awam dan belia.
Menariknya, setiap kelompok pula telah ditetapkan strategi yang berbeza agar kempen ini dapat dicapai mengikut kumpulan sasaran masing-masing.
Jom sahut seruan Malaysia Negara Membaca 2030!
Walaupun Dekad Membaca Kebangsaan kelihatan masih samar-samar untuk dicapai, tapi, kalau kita sama-sama berganding bahu, tak mustahil Malaysia mampu mencapai hasrat yang diidamkan ini. Ayuh sama-sama kita mulakan budaya membaca dari rumah atau di mana-mana sahaja bermula hari ini.
Bak kata Perdana Menteri kita, “usah berkira belanja wang untuk buku” kerana manfaat yang kita akan dapat tak ternilai harganya.