Penyampai berita, Amin Hayat menepis dakwaan di mana dia seorang yang sombong dan sukar untuk didekati peminat sejak aktif dalam bidang penyiaran.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Seorang Yang Introvert..’ – Marissa Dania
Bukan sombong tapi ‘introvert’
Menerusi temu bual secara eksklusif bersama OhBulan! Amin atau nama sebenarnya Amin Hayat Abd. Rahim mengakui bahawa dirinya seorang yang ‘introvert’.
Ramai orang ingat saya sombong dan sukar untuk didekati. Sebenarnya tidak juga. Saya seorang yang peramah dan okay dengan sesiapa sahaja. Mungkin saya pemalu dan introvert. Orang mungkin nampak saya di kaca televisyen seorang yang extrovert.
Kalau nak tahu, saya sejenis yang suka buat semua aktiviti sendiri. Kadang-kadang tengok wayang dan jogging pun sendiri. Bukan tak ada kawan, cuma saya suka bersendirian. Saya juga pencinta haiwan terutama kucing dan anjing. Saya pelihara dua ekor kucing di rumah.
Berbicara lebih lanjut, OhBulan! sempat bertanya kepada Amin mengenai masalah alopesia atau keguguran rambut yang kritikal yang pernah dihadapinya.
Ujar Amin, dia sudah pulih daripada masalah tersebut dan kini memberi sokongan kepada mereka yang mengalami masalah yang sama menerusi sebuah komuniti yang ditubuhkan.
Masalah alopesia ini merupakan masalah keguguran rambut yang kritikal hingga menyebabkan botak dan memberi tekanan emosi kepada mereka yang menghidapnya.
Saya penyampai berita pertama yang botak di Malaysia. Masa itu memang saya tertekan dari segi mental kerana ia melibatkan emosi. Motivasi diri juga semakin merundum. Apatah lagi ramai yang mengejek saya macam penyu dan telur.
Kalau diikutkan, penyakit ini tiada pun isu berbanding penyakit yang lain. Ia merupakan masalah dalaman iaitu mental. Kalau tak kuat dan susah untuk urus pasti membawa kesan. Jangan stress, jaga pemakanan dan tidur kena cukup. Selain itu, saya jumpa pakar kulit. Jangan pergi tempat yang bukan pakar.
Tambah Amin, dia turut mendapat sokongan dan motivasi daripada keluarga, rakan dan arwah Julia Perez pada masa itu.
Di akhir temu bual, OhBulan! bertanya kepada Amin mengenai tips dan rahsianya untuk kekal awet muda. Jelas Amin, dia hanya melakukan penjagaan muka seperti biasa.
Saya hanya buat penjagaan yang basic. Saya selalu cui muka dan pakai sunblock untuk melindungi kulit muka saya daripada terkena pancaran matahari. Lebih-lebih lagi sekarang musim panas. Saya akan elak keluar rumah kalau panas terik.
Dari segi tubuh badan pula, saya rajin pergi ke gimnasium. Dulu tiga hinga empat kali seminggu. Sekarang dua kali seminggu. Selebihnya saya akan berjalan di taman tak kira pagi atau petang. Senaman buat saya gembira. Bila gembira secara tidak langsung ia akan terpancar di raut wajah.
Seterusnya, hati kita kena baik dan bersih. Buat baik pada smeua orang. Kita jangan buat benda yang tak baik dekat orang. Tak kira di mana kita berada, kena jaga tingkah laku dan keperibadian. Mendengar muzik salah satu aktiviti yang saya suka juga. Dia boleh bagi kita relaks dan tenang.
Paling utama, saya kurang main media sosial. Bagi saya media sosial boleh buat kita tertekan. Apabila kita tengok orang lain pergi travel dan berjaya, kita akan stress. Jadi ia mungkin memberi kesan kepada emosi kita secara tidak langsung.