berita

Ramai Tak Tahu Arahan Tutup Kilang Di Selangor Kuasa Kerajaan Persekutuan, Bukan PBT

July 14th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Foto: Reuters

Ekoran kes harian Covid-19 yang semakin meningkat saban hari, ramai mempersoalkan pembukaan sektor perkilangan terutamanya di Selangor yang ketika ini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) Bersasar.

Kerajaan Selangor menerusi satu kenyataan media menjelaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak mempunyai kuasa dalam penutupan kilang membendung penularan Covid-19 sebaliknya kuasa itu masih di bawah Kerajaan Persekutuan.

Perlu ikut syarat yang ditetapkan

Foto: UK Style

Ujar Ng Sze Han, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, walaupun seksyen yang dirujuk memberi ‘gambaran’ pihak PBT mempunyai kuasa mutlak dalam membatalkan lesen, tindakan pembatalan perlu dilakukan mengikut syarat serta parameter yang telah ditetapkan.

Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.

Tambahnya lagi, lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh PBT adalah sebagaimana yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja dan tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit yang mana undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu Akta 342.

Kuasa masih berada di bawah kerajaan persekutuan

Foto: BBC

Pada masa yang sama, Ng Sze Han menjelaskan pindaan yang dibuat sebelum ini, membolehkan Pegawai Kesihatan Persekitaran PBT untuk membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dan arahan daripada Kerajaan Perseketuan. Bagaimanapun, kuasa untuk menutup kilang masih berada di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, sehingga 12 Julai 2021 sejumlah 39,604 pemeriksaan telah dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dengan 768 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 214 premis termasuk kilang telah diarah tutup. Pada masa yang sama, proses pemeriksaan ini akan terus dijalankan demi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal sehingga kes berjaya menurun.

Secara kesimpulannya, Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor menjalankan tugas secara telus dan bertanggungjawab mengikut parameter undang-undang serta doktrin ‘rule of law’ dan ‘fair and equitable treatment’ melalui peruntukan Akta 342 Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pentadbiran ini telah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri yang secara prinsipnya menyatakan bahawa pada masa ini, hal perkara mengenai operasi sektor pengilangan dan pembuatan termasuklah semua peraturan membabitkan premis operasi bagi tujuan pengawalan COVID 19 adalah tertakluk kepada Akta 342 dan apa-apa arahan serta Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) umum PKP/PKPB/PKPD yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

SKIP THIS AD ×