
Pelakon Ramona Zamzam tampil mendedahkan bahawa dia tidak mengenali figura bapa kandungnya sejak dari kecil lagi.
Artikel Berkaitan: Ramona Zamzam ‘Tepek’ Selebriti ‘Dan Dan Post’ – ‘Yang Korang Kisah Adalah Duit & Populariti’
Artikel berkaitan: ‘Rasa Bersyukur Pun Salah Juga Ke?’ – Dituduh Riak Bahagia, Ini Respon Ramona Zamzam
Pendedahan Ramona
Menerusi perkongsian di podcast Bukak Mulut, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, 35, memaklumkan ramai yang tidak mengetahui bahawa lelaki yang dikenali sebagai ayah itu adalah bapa tirinya.
Cakap pasal ayah ini istimewa sangat. Saya memang rapat dengan ayah. Saya berada dalam industri sangat lama dan ini adalah rahsia yang ramai sebenarnya tak tahu.
Ayah saya, Zamzam ini sebenarnya bukan ayah kandung. Dia ayah tiri saya. Saya dah sampai satu tahap tak kisah kalau orang tahu.
Mungkin benda yang terjadi waktu saya kecil juga yang membentuk saya pada hari ini.
Menurut Ramona, dia tidak mengetahui secara terperinci mengenai sosok bapa kandung berikutan perceraian yang berlaku antara ibunya dan lelaki tersebut.
Paling menyayat hati, usaha untuk mengenali bapanya seolah-olah sia-sia kerana reaksi yang diberikan lelaki itu ketika mereka berkomunikasi telah mengecewakannya.
Saya dibesarkan oleh ibu dan ayah tiri. Bapa kandung saya tak pernah cari saya, dan saya pun tak pernah kenal dia. Tapi masa sekolah rendah dulu, saya cuba cari dia dan kami pernah bercakap di telefon sekali.
Saya masih ingat perbualan itu. Saya teruja nak berjumpa, tapi respon dia sangat mengecewakan. Dia cakap, ‘mak awak kerja, mak ada duit, jadi biarlah mak jaga awak. Tak apalah kalau kita tak jumpa.’
Sejak itu saya sedar, dia memang tak nak ambil tahu pasal saya, tak ada usaha untuk cari saya. Itu antara sebab saya jadi kuat dan teruskan hidup tanpa mengharapkan sesiapa.
Bapa tiri yang baik
Walau bagaimanapun, Ramona menyifatkan dirinya sebagai seorang anak yang bertuah kerana dikurniakan bapa tiri yang penyayang.
Dalam masa yang sama, tumpuan Ramona kini lebih kepada keluarga dan bapa tirinya yang sedang diuji dengan penyakit.
Sekarang saya lebih banyak habiskan masa dengan keluarga. Saya pun dah bergelar ibu, anak pun dah mula sekolah…dan dalam masa sama, ayah pula jatuh sakit.
Saya berada di fasa hidup yang sangat mencabar. Tapi apa pun yang terjadi, fokus saya kini hanya pada mak dan ayah, terutama ayah. Walaupun bukan ayah kandung, dialah yang membesarkan saya.
Bila lihat dia terlantar dan lumpuh, hati saya sebak. Ia bukan satu perkara mudah untuk saya lalui.
Sumber: IG Myaudioplus






