Di London, United Kingdom, lapan orang warga emas telah mencipta sejarah apabila mereka berjaya melakukan rompakan secara besar-besaran di sebuah pusat kawalan yang paling ketat di seluruh England. Insiden yang dikenali sebagai ‘The Hatton Garden Safe Deposit Box Robbery’ itu telah berlaku pada bulan April 2015.
Kesemua mereka telah merompak barang kemas, berlian, artifak dan wang tunai yang terdapat di pusat kawalan tersebut. Lebih ‘rare’ mereka berjaya mengosongkan 73 buah peti simpanan sebelum melarikan diri. Kejadian rompakan tersebut juga mempunyai kelas tersendiri. Ini kerana, kesemua mereka telah melakukan persediaan dan strategi yang rapi beberapa tahun sebelum melakukan rompakan. Wow hebatnya!
Siapa perompak tersebut?
Berikut merupakan kesemua nama perompak dan usia mereka semasa melakukan jenayah tersebut.
- Hugh Doyle (49 tahun)
- Carl Wood (59 tahun)
- William Lincoln (60 tahun)
- Daniel Jones (61 tahun)
- Terry Perkins (67 tahun)
- John Collins (75 tahun)
- Brian Reader (76 tahun)
- Basil (sehingga kini masih belum ditemui)
Sebagai yang paling tua dalam kalangan perompak, Brian Reader merupakan dalang di sebalik rompakan ‘The Hatton Garden Safe Deposit Box Robbery’.
Menyamar sebagai pekerja perbandaran
Foto: Cara menyamar
Menurut The Guardian, pihak polis mengesahkan bahawa kejadian rompakan tersebut bukan berpunca daripada orang dalam. Selain itu, tiada sebarang tanda pecah masuk dikesan. Oleh itu, pelbagai tanda tanya telah timbul mengenai bagaimana kesemua perompak tersebut berjaya melakukan rompakan.
Buat pengetahuan korang, kesemua mereka telah menyamar menjadi tukang cuci, tukang selenggara dan pekerja perbandaran. Oleh kerana kesemua mereka merupakan warga emas, orang awam dan penjaga pusat kawalan tersebut menganggap mereka tidak berbahaya. Kesemua mereka memakai ves kuning, topi dan topeng putih bagi mengelakkan identiti mereka terbongkar.
Meskipun kesemua mereka telah berjaya memasuki pusat kawalan tersebut, mereka perlu menyelesaikan pelbagai misi sebelum berjaya merompak barangan berharga di situ. Antaranya, semasa berada dalam premis tersebut mereka perlu menaiki lif sehingga ke tingkat dua sebelum godam lif berkenaan ke tingkat bawah tanah. Mereka juga perlu memisahkan lif dengan bilik kebal dan memotong penggera kecemasan. Wayar telefon yang berada dalam premis tersebut juga perlu dipotong oleh mereka secara teliti agar tidak diketahui oleh penjaga premis berkenaan.
Tebuk dan merangkak masuk lubang
Foto: Lubang yang berjaya ditebuk
Sebanyak tiga lubang perlu ditebuk oleh mereka bagi memasuki kawasan peti besi. Kesemua mereka telah merangkak memasuki lubang yang bersaiz 25 x 45 sentimeter. Setelah melepasi lubang tersebut, mereka perlu memecahkan kesemua peti besi dan memberikan barangan berharga tersebut kepada rakan mereka yang berada di luar lubang berkenaan.
Menurut ketua perompak, Brian Reader, jika mereka ingin merompak berlian, mereka memerlukan gerudi berlian. Jadi, mereka telah membelinya secara online. Tambahnya, mereka memerlukan 30 minit untuk membuat lubang tersebut. Mereka juga pernah tersilap langkah apabila lubang yang digerudi pada mulanya telah terhalang oleh sebuah kabinet keluli.
Setelah selesai merompak, mereka telah membawa kesemua barangan tersebut ke pintu kecemasan. Di situ, mereka telah meninggalkan beberapa tong sampah sebelum memasukkan barangan itu ke dalamnya. Menerusi rakaman kamera litar tertutup, tong sampah itu kelihatan lebih berat jika dibandingkan pada waktu awal mereka meletakkannya. Disebabkan mereka berpakaian seperti pekerja selenggara, tiada seorang pun yang mengesyaki apa yang sebenarnya berlaku.
Tak dapat dikesan selama sebulan
Kesemua mereka sempat menikmati kemewahan yang diraih hanya dalam tempoh sebulan. Ini kerana, pihak berkuasa telah melakukan siasatan secara besar-besaran setelah kejadian rompakan tersebut berlaku. Walaupun identiti mereka berjaya dikesan pada mulanya, namun, pihak berkuasa susah untuk menjejaki kesemua mereka kerana perancangan mereka sungguh rapi.
Pihak polis telah menjejaki kereta, memeriksa gambar-gambar dan memasang mikrofon untuk merakam perbualan mereka bagi tujuan perangkap. Berbalik kepada perancangan yang dilakukan, kesemua mereka telah mengambil tempoh masa tiga tahun untuk melakukan rompakan tersebut. Orang pertama yang mencadangkan idea ini adalah Daniel Jones. Ia juga bermula sebagai angan-angan. Namun, beliau asyik teringat idea tersebut. Disebabkan beberapa orang di antara mereka turut berminat, tinjauan telah dilakukan.
Mereka telah melakukan tinjauan mengenai waktu bekerja Hatton Garden, bagaimana pekerja bergerak dan salah seorang daripada mereka pernah berpura-pura menyewa peti besi di situ. Secara tidak langsung, ia telah memberi gambaran awal buat mereka mengenai susur galur bilik kebal itu. Setelah bersedia, David Jones telah mencari dan membeli kesemua peralatan melalui atas talian.
Rujuk buku nak rompak
Foto: Buku rujukan yang dibaca
Walaupun kesemua mereka dianggap profesional, mereka juga masih memerlukan bantuan dan bahan rujukan bagi melakukan jenayah yang besar itu. Selepas mereka ditangkap oleh pihak polis, rumah-rumah mereka telah diserbu bagi misi mencari hasil rompakan. Pihak polis terkejut apabila mereka menjumpai sebuah buku yang berkaitan dengan teknik penyiasatan pihak polis dan cara untuk mengelakkan diri daripada tertangkap. Kesemua hasil rompakan, telah dijumpai oleh pihak polis di dalam peti besi rumah mereka dan ada yang menyimpannya di dalam kubur ahli keluarga.
Daripada serbuan dan siasatan juga, pihak polis mengetahui bahawa kesemua mereka telah berbincang mengenai rompakan tersebut di sebuah pub. Pub ‘The Castle’ di Islington menjadi lokasi terakhir mereka berbincang. Selepas berjaya melakukan rompakan, pub itu juga menjadi lokasi mereka membahagikan hasil rompakan tersebut. Sehingga hari ini, pub itu masih beroperasi dan para pekerja dilarang bercakap mengenai rompakan itu. Pub itu juga menjadi lokasi hangat bagi pengunjung kerana mereka ingin melihat sendiri bagaimana lokasi tersebut dijadikan tempat perbincangan para perompak.
Menerusi rekod dan data yang disimpan oleh pihak polis, Brian Reader pernah dipenjara selama lapan tahun selepas didapati bersalah merompak jongkong emas bernilai RM147 juta di Lapangan Terbang Heathrow pada tahun 1983. Tery Perkins juga merupakan nama yang terkenal kerana dia telah melakukan rompakan Security Express dan RM34 juta telah lesap pada tahun yang sama. Terry telah dipenjara selama 22 tahun disebabkan kesalahan itu dan dia seolah-olah bersedia untuk melakukan kesalahan yang sama selepas dibebaskan dari penjara. Manakala, John Collins dan Danny Jones juga mempunyai rekod jenayah lampau yang banyak.
Seorang masih bebas
Walaupun kumpulan ini berjaya ditumpaskan, salah seorang suspek iaitu Basil masih dikehendaki oleh pihak polis. Disebabkan kesemua mereka yang ditangkap tidak mahu membuka mulut, polis telah menawarkan RM114,000 kepada orang awam yang boleh memberi maklumat mengenai Basil. Terdapat juga teori yang menyatakan Basil kini berada di Russia dan dia sedang diburu oleh mafia kerana menyimpan harta Hatton Garden. Ada juga yang mengatakan dia berda di Panama dan masih di London.
Mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada ahli perompak yang lain, Kenny Collins, Daniel Jones dan Terry Perkins telah didapati bersalah atas konspirasi melakukan rompakan dan mereka dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun. Carl Wood dan William Lincoln pula didapati bersalah kerana menyembunyikan, menukarkan dan memindahkan harta jenayah. Oleh itu, mereka dijatuhkan hukuman penjara selama enam dan tujuh tahun penjara. Hugh Doyle yang didakwa atas kesalahan yang sama walau bagaimanapun dihukum penjara selama 21 bulan. Ketua kumpulan mereka iaitu Brian Reader pula dijatuhkan hukuman enam tahun penjara.
Kisah ini difilemkan
Disebabkan kisah ini sangat popular, pengarah filem iaitu Ronnie Thompson, telah menghasilkan sebuah filem mengenainya. Filem yang bertajuk ‘The Hatton Garden Job’ ini menceritakan semula bagaimana lapan perompak ini merancang dan melakukan rompakan secara besar-besaran tersebut. Korang yang nak tahu bagaimana mereka berjaya masuk ke Hatton Garden dan berjaya merompak, korang boleh saksikan filem ini.
Sumber: The Guardian