berita

“Rasa Macam Anjing, Mengejar- Ngejar Posmen”- Diari 100 Hari Bekas Pekerja MAS

January 7th, 2016 | by Noraniza
Kini Trending

mas

Di kala ekonomi Malaysia yang tak berapa stabil ni, survival hidup amatlah penting. Bukan sahaja syarikat kecil yang boleh gulung tikar, malahan seperti yang anda ketahui,MAS yang merupakan sebuah syarikat gergasi juga terpaksa membuang para pekerja.

Bukan untuk mengeji syarikat penerbangan Malaysia sendiri, namun kami juga terfikir apakah nasib-nasib pekerja yang terpaksa diberhentikan itu? Antarany adalah luahan yang ditulis oleh Zulfadzli Halim, jurutera pesawat ATR72-500/600, dan Airbus A330-300/200 menerusi Free Malaysia Today.

Mula kerja sejak lepas SPM

Saya sertai Malaysia Airlines dengan keputusan SPM dan berkhidmat sehingga September 2015. 14 tahun bermula sebagai pelatih jurutera penyelenggaraan pesawat, dan ditamatkan perkhidmatan sebagai jurutera penyelengaraan pesawat. Dalam bahasa mudah, saya tak banyak tahu benda lain, tiada kemahiran lain selain membaiki pesawat. Semuanya bermula pada hujung Mei selepas MAS umum yang akan keluarkan surat kepada kakitangan yang terpilih untuk diberhentikan dan surat akan dipos ke rumah. Ketika itu panik dan tak duduk diam. Rasa macam anjing; mengejar-ngejar posmen. Surat saya datang lambat, beberapa hari selepas rakan-rakan lain terima surat. Debaran menggila sehingga saya ke pejabat pos mencari surat. Akhirnya surat sampai. Terima kasih atas perkhidmatan anda.

Dua-tiga bulan lebih baru saya terima kenyataan yang saya akan hilang kerja. Anak empat, isteri cuma surirumah. Panik, tekanan perasaan, stres, tidur tak menentu, sebagai bapa kalau kita lapar tak mengapa, jangan anak tak cukup makan, terganggu pendidikan. Duit pampasan tak diberitahu jumlahnya selagi belum 1 September. Emosi memang dilambung ombak. Kemudian Khazanah, pemilik baru Malaysia Airlines kata yang akan ada satu badan yang bantu latih semula (reskilling) pekerja yang dibuang untuk dapatkan kerja baru Corporate Development Centre (CDC). Dalam taklimat, pelbagai latihan akan diberikan, dari bakar roti hinggalah ke mengendalikan nurseri. Tenang sikit hati.

Saya tiada Ijazah, diploma

Sampai 1 September, hari yang dijanjikan dapat pampasan kelam-kabut kerana ramai yang tak dapat mengikut formula yang diberi pada awalnya. Saya sendiri cuma dapat tak sampai RM8,000. Selepas membuat laporan, akhirnya lebihan duit pampasan dimasuk ke dalam akaun bank, sehingga kini tiada penyata bertulis dikemaskini tentang pembayaran tambahan ini. Bila email tanya, mereka masih sedang naik taraf sistem IT. Kita kena prasangka baik.
Saya dulu jurutera penyelenggaraan pesawat. Kelulusan saya pada lesen yang dianugerahkan badan keselamatan penerbangan dari United Kingdom dan Putrajaya. Saya tiada ijazah, tiada diploma. Dalam bidang ini, kalau ada ijazah kehormat sekalipun, tidak boleh baiki pesawat. Masalahnya lesen saya perlu diperbaharui setiap dua tahun, dengan bukti kerja (work schedule). Kalau tiada kerja baiki pesawat dan lesen luput tarikh, saya cuma lepasan SPM saja. Itu cerita dulu, kini saya dah terima kenyataan dan jual pek nasi, menghantarnya ke pejabat-pejabat, jika ada tempahan. Setiap pagi saya akan masak, pukul 11.30 pagi saya akan keluar menaiki motorsikal dan mulakan penghantaran makanan tengahari.

Ada ternak ayam, ada bawa teksi, jual aiskrim

Bukan saya seorang, ramai lagi. Ada seorang jurutera yang saya kenal mula bereksperimen menternak ayam, ada yang bawa teksi sapu (Uber), dan ada yang jual aiskrim. Apa jadi kepada skim melatih semula pekerja MAS? Saya pun tak pasti. Selepas menyertai kursus membuat dokumen rancangan peniagaan sebanyak dua kali, dan membuat Diploma Sijil Kemahiran Malaysia (yang saya tak tahu untuk apa), tiada lagi berita kursus untuk latihan semula. Rakan-rakan yang pakar dalam bidang kejuruteraan pesawat misalnya dapat menghadiri temuduga yang diatur oleh CDC dengan beberapa kilang air minuman, tak kurang juga dengan hotel-hotel terkemuka. Inilah kekurangannya bila kita ada kemahiran yang tinggi dalam industri yang sempit.

Ada juga rakan-rakan yang bernasib baik dan dapat peluang mencari rezeki di Timur Tengah. Semuanya bergantung kepada jenis pesawat yang seseorang jurutera itu layak baiki (type rated). Ada juga rakan jurutera lain yang terdesak dan keluar negara untuk bekerja sebagai mekanik pesawat. Masing-masing dengan cara penilaian sendiri. Industri penerbangan dalam Malaysia masih tidak stabil, syarikat-syarikat penerbangan lain cuma ambil serpihan sahaja pekerja MAS yang dibuang. Tiada keperluan bila jumlah pesawat yang ada tak bertambah. Tapi kita sebagai rakyat, kenalah redha taat dan setia.

Jauh disudut hati, saya sedih kerana rakan-rakan saya terpaksa keluar negara untuk menyambung rezeki keluarga. Saya ada dengar skim-skim yang ditawarkan kerajaan untuk memanggil semula tenaga mahir rakyat Malaysia di luar negara untuk berkhidmat di negara sendiri, tapi entah di mana bocornya, makin ramai yang keluar dan seperti tiada yang ambil pusing.

Saya juga lihat banyak kolej-kolej yang mempromosikan kursus sebagai jurutera pesawat, malah saya sendiri mendapat beberapa tawaran untuk mengajar di kolej-kolej ini. Tapi bila kita kenangkan semula, adalah mementingkan diri sendiri jika kita mengajar orang hanya kerana kita tiada kerja dan pelajar kita juga ada risiko besar untuk tidak berpeluang kerja seperti kita. Ini bukan omong kosong, ini sedang berlaku dalam industri ini. Ramai graduan yang tiada kerja walaupun ada lesen menyelenggara pesawat. Mungkin kerana tamak, kita pilih untuk tidak melihat perkara ini.

Bukan untuk merendah atau menghentam

Saya sebenarnya masih menyimpan niat untuk terus bekerja sebagai jurutera penyelenggara pesawat. Hampir separuh hidup saya dalam industri ini, terasa sangat berat untuk saya tinggalkan. Bibit-bibit harapan inilah yang membuatkan saya masih bertahan, tapi makin hari ianya makin menipis. Diari seratus hari selepas MAS ini saya kongsikan bukan untuk merendah atau menghentam sesiapa. Ianya dokumentasi masa buat mereka yang tertanya-tanya, apa jadi kepada pekerja MAS? Itu pun jika masih ada yang ingat dan peduli.

The following two tabs change content below.

Noraniza

Senior Head Of Sponsored Content, Malay Division at Rev Asia Berhad
People will hate you, rate you, shake you and break you. But how strong you stand is what makes you! :)

SKIP THIS AD ×