berita

Rebah & Tak Sedarkan Diri Di Restoran, Isteri Terkejut Netizen Dakwa Suami Meninggal Dunia Sebab Dos Penggalak

January 20th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Semalam viral satu gambar di media sosial memaparkan seorang lelaki dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang sarapan di sebuah restoran. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan kebanyakan netizen membuat andaian kematian tersebut berpunca dari dos penggalak.

Terbaru, isteri arwah Hamsan Hashim iaitu Rabunah Abdu Rashid tampil menafikan dakwaan tersebut.

Meninggal bukan sebab dos penggalak

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Harian Metro, Rabunah Abdu Rashid memaklumkan bahawa arwah suaminya meninggal dunia bukanlah disebabkan dos penggalak seperti yang didakwa segelintir pihak. Jelasnya lagi, arwah sudah menghidap sakit jantung dan darah tinggi sejak lima tahun lalu dan setiap bulan arwah akan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan.

Suami saya memang ada penyakit jantung dan darah tinggi. Kematian dia bukanlah disebabkan dos penggalak seperti dakwaan tular itu.

Menurut isteri arwah lagi, sebelum kejadian suaminya itu ada memberitahunya bahawa dia mahu bersarapan dengan rakannya di restoran berkenaan sebelum pergi ke tempat kerja. Namun siapa sangka, tidak lama selepas itu, Rabunah menerima panggilan yang memaklumkan bahawa suaminya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di restoran berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.

Suami memang baru sahaja mengambil dos penggalak pada 12 Januari lalu, namun dia tidak mengeluh atau menunjukkan mengalami sebarang simptom serius kecuali lenguh pada bahagian tangan.

Isteri arwah minta henti sebar berita palsu

Sekadar gambar hiasan

Rabunah mengakui sangat terkejut dengan dakwaan tersebut sedangkan dia langsung tidak pernah menyatakan dalam laporan kematian bahawa arwah suami meninggal disebabkan dos penggalak. Susulan daripada itu, ibu kepada tiga anak ini mengakui sudah reda dengan pemergian tersebut dan meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita palsu mengenai punca kematian suaminya. Difahamkan, jenazah Hamsan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Beruntung petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin, hasil ujian saringan mendapati arwah negatif Covid-19 dan doktor mengesahkan punca kematian disebabkan sakit jantung kronik (coronary artery disease). Tambahnya lagi, siasatan awal pihak polis juga mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sumber: Harian Metro, Berita Harian

SKIP THIS AD ×