Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharram merupakan antara hari yang penuh bermakna dalam kalendar Islam.

Hari ini bukan sahaja mengingatkan kita tentang pelbagai peristiwa penting dalam sirah Nabi, tetapi menjadi peluang untuk umat Islam memperbanyakkan amalan.

Artikel Berkaitan: Bukan Sekadar Terima Duit Raya, Ustaz Wadi Annuar Kongsi 9 Adab Yang Perlu Ditekankan Kepada Anak

Artikel Berkaitan: Ustaz Wadi Annuar Tegur Pembeli Mercun, Titip Pesanan Utamakan Yang Lebih Penting – ‘Berhibur Tidak Salah, Cuma…’

Perkongsian Ustaz Wadi

View on Threads

Menerusi hantaran di Threads, penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar berkongsi tentang lima amalan Hari Asyura yang boleh dilakukan umat Islam.

Menurut Ustaz Wadi, pada hari ini penganut agama Islam digalakkan untuk berpuasa. Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk berpuasa pada hari tersebut kerana ia memiliki ganjaran yang besar, termasuk penghapusan dosa-dosa kecil setahun yang lalu dengan izin Allah SWT.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk meluaskan nafkah dan menggembirakan ahli keluarga masing-masing. Amalan ini juga secara tidak langsung akan menyemai kasih sayang serta mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, selain dapat berkongsi rezeki.

Hari Asyura juga merupakan waktu yang sesuai untuk kita memperbanyakkan istighfar dan bertaubat. Umat Islam disaran mengambil kesempatan ini untuk bermuhasabahkan diri dan memohon keampunan agar menjadi insan yang lebih baik.

Di samping itu, amalan zikir, membaca Al-Quran dan berdoa juga turut digalakkan. Pengisian rohani seperti ini mampu menenangkan jiwa serta dapat memperbaiki hubungan di antara seorang hamba dan Allah SWT.

Bukan itu sahaja, kelebihan Hari Asyura juga boleh dimanfaatkan hingga ke waktu malam iaitu dengan beribadah. Walaupun amalan-amalan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi, Hari Asyura adalah detik istimewa untuk meningkatkan penghayatan terhadap nilai agama.

Semoga Allah menerima amal kita, mengampunkan dosa-dosa kita dan meluaskan rezeki serta keberkatan dalam keluarga kita.

Justeru itu, kedatangan hari yang penuh berkat ini tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Sebaliknya, dimanfaatkan sebagai medan untuk mendekatkan diri pada Allah SWT.

Sumber: Threads