berita

Remaja Bunuh Suami Terlepas Hukuman Gantung – ‘Jika Kamu Dewasa Saya Terpaksa Jatuhkan Hukuman Mati. Bersyukur Kamu Terselamat’

April 11th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Kosmo

Seorang remaja perempuan yang didapati bersalah kerana membunuh suaminya lima tahun lalu terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Muar mengarahkannya dipenjara pada satu tempoh sehingga mendapat pengampunan Sultan Johor.

Terlepas hukuman gantung

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Awang Armadajaya Awang Mahmud selepas mengambil kira situasi tertuduh, Nur Hidayah Abdullah yang melakukan kesalahan itu ketika dia masih dibawah umur iaitu pada usia 17 tahun. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Namun tertuduh ditakrifkan sebagai kanak-kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan tidak boleh dijatuhkan hukuman mandatori. Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh ditahan penjara sehingga mendapat perkenankan oleh Sultan Johor kerana kesalahan dilakukan di dalam negeri ini.

‘Jika kamu dewasa saya terpaksa jatuhkan hukuman mati’

Foto: Berita RTM

Mengikut pertuduhan, tertuduh boleh merayu kepada Lembaga Pengampunan dan Sultan Johor untuk sebarang keringanan hukuman atau memendekkan tempoh tahanan kepada tertuduh.

Jika kamu dewasa saya terpaksa jatuhkan hukuman mati. Bersyukur kepada ALLAH kamu terselamat daripada hukuman mati. Saya doakan supaya kehidupan kamu selepas ini menjadi lebih baik, jadi orang bermanfaat, berguna kepada masyarakat dan keluarga. Saya sudah mendengar rayuan peguam kamu yang mana kehidupan kamu penuh dengan dukacita.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh iaitu Nur Hidayah didakwa menikam suaminya menggunakan pisau pemotong sayur di bahagian dada di kediaman di Taman Pertama Indah, Sungai Abong milik majikan suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai menjual ayam di sebuah pasar. Kejadian ngeri itu berlaku pada 17 Oktober 2017 iaitu selepas kira-kira lima bulan mereka mendirikan rumah tangga.

Sumber: Sinar Harian, Kosmo

SKIP THIS AD ×