berita

Remy Ishak Enggan Komen Sebarang Gosip Cinta

December 10th, 2012 | by Ai
Kini Trending

8 Disember lalu telah berlangsungnya pertandingan akhir ‘Cabaran Skor Dashing Neon Futsal’ yang diadakan di Sports Planet, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pertandingan futsal yang dianjurkan oleh pihak Dashing kali ini kelihatan sungguh unik, di mana kesemua peserta dikehendaki bermain dalam cahaya Neon dan mereka dibekalkan dengan bola serta jersi yang bersifat ‘Glow in the dark.’

Menerusi pertandingan ini, pihak penganjur turut mengadakan satu slot khas dengan mengadakan perlawanan futsal antara pihak media dan staf Dashing, di mana mereka turut menampilkan duta produk Dashing sendiri, iaitu Remy Ishak dan Henry Golding.

Perlawanan antara kedua-dua kumpulan ini menjadi sunggh meriah tatkala Henry Golding dan Remy Ishak masing-masing menjaringkan gol dan sekaligus menjadikan kumpulan Dashing menang 2-0 ditangan pihak media.

Menurut Remy Ishak, jaringan gol yang dilakukan olehnya ketika separuh masa kedua merupakan satu perkara yang diluar jangkaan dan tidak menjangka permainan yang dilakukan secara suka-suka boleh membuahkan hasil.

“Saya sebenarnya main suka-suka dan jaringan tadi bukannya satu yang dirancang. Lagipun saya dah lama tak main futsal,” ujar Remy Ishak sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Remy ketika diajukan soalan mengenai gosip cinta antara dirinya dan Maya Karin, serta penyebaran sekeping foto di internet yang menunjukkan dirinya dengan seorang wanita yang didakwa sebagai kekasih baru, aktor berbakat ini enggan memberi sebarang komen dan lebih selesa untuk mendiamkan diri.

Memandangkan acara pada petang Sabtu lalu melibatkan aktiviti sukan, jadi sempat juga pihak OHBULAN! meminta pandangan Remy Ishak mengenai corak permainan serta pencapaian pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya menerusi pertandingan ‘Piala Aff Suzuki 2012.’

“Kejayaan pasukan Harimau Malaya ke peringkat seterusnya merupakan satu perkara yang boleh dibanggakan dan mereka juga telah mengharumkan nama negara. Namun begitu, perasaan bangga itu mungkin lebih dirasakan oleh skuad negara sendiri.”

Merujuk perkembangan terbaru, Remy Ishak bakal muncul dengan drama bersiri terbaru di TV9 berjudul ‘Cinta Jangan Pergi’ yang akan mula ditayangkan pada Januari tahun hadapan.