Umum tahu pelakon Remy Ishak sudah menamatkan zaman bujangnya pada Ogos tahun lalu bersama usahawan, Ezza Yusof.
Artikel Berkaitan: ‘Dunia Pun Belum Stabil, Rileks Dulu Fikir Soal Anak’ – Remy Ishak
Tak pernah sembang soal anak
Ketika ditemui OhBulan!, Remy, 40, akui sudah mula terfikir soal cahaya mata selepas kerap kali ditanya orang sekeliling tentang zuriat.
Cerita lebih lanjut, pemilik nama Mohammad Zalimei berkata dia teruja mendengar cerita pelakon Amyra Rosli yang memberitahu dia cepat mendapat anak. Bagaimanapun kata Remy, disebabkan dia dan Ezza sibuk dengan kerjaya, mereka tidak pernah berbincang mengenai perkara tersebut.
Saya sudah beberapa bulan kahwin tapi belum dapat tanda-tanda lagi. Terfikir juga macam mana nanti. Kami masing-masing sibuk.
Apabila sudah mula masuk lokasi penggambaran, kawan-kawan sudah mula bertanya perkara ini. Mereka tanya saya bila tarikh kahwin dan bila saya beritahu, mereka kata takkan belum ada apa-apa? Pertanyaan mereka buat saya terfikir perkara ini.
Kami pun tak pernah bersembang perkara ini. Masing-masing sibuk dengan karier sendirI, tak terfikir pula pasal anak. Sepatutnyanya kena ada masa untuk isteri tapi jadual tiada.
Remy ditemui ketika majlis sidang media ‘The Masked Singer Malaysia’ musim kedua yang berlangsung di VE Hotel, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Plan tak menjadi
Dalam pada itu, pelakon drama Pujaan Hati Kanda menyatakan mereka belum berpeluang untuk pergi berbulan madu dan menunaikan ibadah umrah.
Biarpun perancangan asal tidak menjadi, pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-31 akur dengan perancangan Allah.
Nak pergi berbulan madu pun tak sempat lagi. Perancangan awal dulu lepas kahwin kami nak pergi umrah, tapi tak boleh kerana ada sekatan. Katanya bila sudah dapat dos penggalak baru boleh pergi.
Saya tengok Kamal Adli dan Uqasha pergi umrah lepas kahwin boleh pula. Kenapa saya tak boleh? Apabila saya nak memohon pergi, jadual pula padat. Kemudian, sekarang kita sudah tak dibenarkan buat umrah.
Jadi kami belum dapat lagi menikmati saat-saat manis. Sekarang mungkin Allah sudah susun kami untuk kerja dahulu sehingga tiba waktunya.
Terdahulu, Remy dan Ezza telah selamat melangsungkan pernikahan pada 21 Ogos 2021 setelah sembilan tahun mengenal hati budi masing-masing.